KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno menempelak Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan Ho Chi Yang yang menuduhnya tunduk kepada naratif Pas hanya kerana tidak setuju dengan cadangan yang dibawa oleh Menteri DAP terkait Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB).
Datuk Dr Akmal Saleh menjelaskan, Umno tidak bersetuju RUU PSB kerana ada perkara yang perlu ditolak dan ditambah baik untuk rakyat.
“Eh bila kita tak setuju dengan cadangan yang dibawa oleh Menteri DAP dikatakan tunduk naratif Pas pula.
“Kita tidak setuju sebab ada perkara yang perlu ditolak dan ada perkara yang perlu ditambah baik untuk rakyat.
“Sebab itu Umno tubuhkan jawatankuasa dan akan buat konvensyen melayu bandar pada 3 Okt 2025 untuk bincangkan pasal RUU PSB ini untuk cari cadangan dan idea yang terbaik untuk rakyat.
“Kita bercakap untuk kepentingan rakyat, bukan kepentingan poket pemaju! bidas Akmal.
Beliau menegaskan, ini negara demokrasi.
“Aku tidak setuju, yang geng kamu panas dah kenapa?
“Pesanan aku pada kamu adalah – jadi pemimpin ini perlu ada akal fikiran yang baik untuk berfikir bagi kebaikan rakyat, bukan mengikut sahaja macam lembu kena tindik hidung.
“Dasar bengap! tempelak Akmal.
Beliau berkata demikian susulan DAPSY mendakwa Akmal tunduk terhadap naratif yang dibawa Pas dalam menentang RUU PSB.
Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan Ho Chi Yang itu menyifatkan Akmal sebagai talam dua muka kerana tindakan dan kenyataan beliau berhubung RUU tersebut bertentangan.
“Akmal sebelum ini mengumumkan bahawa Pemuda Umno tidak akan menyertai perhimpunan anjuran Pas untuk menentang RUU tersebut.
“Namun pada masa yang sama pula memberi amaran bahawa Ketua Pemuda Umno adalah bersedia bekerjasama dengan PAS untuk membantah akta tersebut sekiranya kerajaan tidak menerima cadangannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah ADUN Tanah Rata itu, dalam interaksi di media sosial dengan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Akmal menggelarkan Mohd Hafez Sabri sebagai ‘saudara seperjuangan’ dan menyatakan kesediaan untuk sama-sama menentang RUU PSB.
Menurut Chi Yang, ini membuktikan Akmal dan Pemuda Pas berpakat untuk memainkan sandiwara politik demi meraih modal politik murahan.
“Pendirian Akmal terhadap isu RUU PSB sebenarnya hanya menuruti naratif Pas yang mengeksploitasi isu perkauman, sengaja menimbulkan rasa takut dan kebencian, malah mengisyaratkan seolah-olah kerajaan mempunyai agenda tersembunyi untuk “mengancam hak perumahan kaum Melayu”,” katanya lagi.
Chi Yang menambah, sebagai seorang pemimpin muda, Akmal sepatutnya menunjukkan politik yang matang, rasional dan konstruktif namun malangnya beliau memilih untuk menumpang sentimen sempit Pas serta menjadikan dasar awam sebagai alat perpecahan kaum serta politik ketakutan.
Tegas beliau, sekiranya terdapat kelemahan dalam RUU PSB, ia wajar diperbaiki melalui perbahasan di Parlimen dan dialog bersama rakyat.
Dengan itu, DAPSY mendesak Akmal agar berhenti bermain politik bermuka dua dan segera menjelaskan pendirian sebenar – sama ada mahu memperjuangkan kepentingan rakyat dengan konstruktif atau terus bersekongkol dengan PAS dan menjerumuskan Malaysia ke dalam kancah perpecahan yang lebih parah.



