KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara – Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menafikan dakwaan Malaysia menjadi pusat operasi Hamas.
Tegas beliau, tahap keselamatan negara sebaliknya sentiasa terjamin hasil kerjasama rapat bersama agensi penguat kuasa serta negara jiran.
Khalid meski mengakui sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin amat dekat di hati rakyat Malaysia, namun agensi keselamatan tetap berwaspada supaya semangat solidariti itu tidak dieksploitasi untuk tujuan menyalahi undang-undang.
“Berdasarkan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam, perjuangan di Palestin sememangnya dekat di hati rakyat.
“Atas sebab itu, kita sentiasa memberi sokongan berterusan kepada Palestin, bagaimanapun agensi keselamatan tetap berwaspada supaya semangat solidariti itu tidak dieksploitasi untuk tujuan yang menyalahi undang-undang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, lapor BH pada Rabu.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalin kerjasama baik dengan semua agensi kerajaan, khususnya Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), sentiasa berhubung, berkongsi maklumat serta mengambil tindakan bersama dalam menangani isu berkaitan.
Khalid turut merujuk kejayaan operasi rentas sempadan kebelakangan ini sebagai bukti kesiapsiagaan Malaysia dalam menjaga keselamatan negara.
“Negara jiran juga memberikan kerjasama yang baik serta berkesan. Seperti yang semua maklum, kes tangkapan di Sadao membabitkan penyeludupan senjata api berjaya digagalkan, dengan tindakan undang-undang diambil pihak berkuasa Thailand. Kita berkongsi maklumat dengan Thailand untuk mengenal pasti rangkaian mereka dan akan terus bekerjasama dalam perkara sebegini,” katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan ancaman keganasan, penyeludupan senjata mahupun rangkaian jenayah rentas sempadan.
“Keselamatan negara adalah terkawal, kita akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan rakan serantau bagi memastikan tiada kumpulan yang menjadikan negara ini sebagai pangkalan operasi,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan bekas penganalisis kewangan keganasan di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer mendakwa Malaysia sudah lama menjadi pusat operasi anggota Hamas, selain dakwaan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berminat dengan perdamaian.
Kritikan itu muncul selepas Anwar menegaskan pendirian Malaysia untuk terus menyokong Palestin dan menggesa supaya hubungan dengan Israel diputuskan kerana Gaza terus dihancurkan, manakala Tebing Barat dirampas.



