KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merakamkan penghargaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas sokongan berterusan Malaysia terhadap perjalanan Timor-Leste ke arah keanggotaan ASEAN.
Dalam ucapan bersejarah beliau di Parlimen Negara Timor-Leste, Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia mengekalkan pendirian konsisten sejak awal perjuangan negara itu untuk menuntut kemerdekaan.
“Ramai di antara anda menyebut mengenai zaman prakemerdekaan dan pascakemerdekaan ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Beliau menunjukkan pendirian yang begitu konsisten dalam ucapannya.
“Dan saya merasakan adalah menjadi tanggungjawab saya kini untuk memastikan proses kemasukan (Timor-Leste ke dalam ASEAN) berjalan lancar,” katanya memetik laporan Bernama di Dili, Timor Leste pada Rabu.
Beliau diberi penghormatan menyampaikan ucapan bersejarah di Parlimen Timor-Leste pada hari kedua lawatan rasminya ke sini hari ini. Ketibaan Anwar pada jam 8.55 pagi disambut Presiden Parlimen Nasional Timor-Leste, Maria Fernanda Lay untuk pertemuan ringkas di Pejabat Presiden sebelum menyampaikan ucapannya jam 9 pagi.
Ucapan itu dianggap penghormatan istimewa yang mencerminkan kehangatan serta keyakinan yang semakin meningkat dalam hubungan dua hala Malaysia dan Timor-Leste.
Perdana Menteri memuji Parlimen Timor-Leste sebagai ‘nadi demokrasi’ dan berikrar bahawa Malaysia akan terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kemasukan penuh negara itu ke dalam ASEAN.
Anwar berkata, perjalanan demokrasi Timor-Leste menjadi inspirasi kepada rantau ini, memperlihatkan ketabahan negara itu dalam mengharungi kesusahan dan diskriminasi sehingga berjaya berdiri megah sebagai negara yang merdeka.
“Parlimen pada dasarnya adalah nadi kepada demokrasi dan sebuah institusi yang harus dihargai serta dipelihara dengan selamat. Saya memuji Timor-Leste kerana ketabahan, keberanian dan keyakinan mereka. Walaupun sebuah negara kecil, mampu membina ekonomi. Nilai kemanusiaan dan sifat belas kasihan sebegini amat mengagumkan,” katanya.
Perdana Menteri yang dalam lawatan rasmi dua hari ke negara ini, menegaskan bahawa Malaysia akan terus memperjuangkan keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN, sambil menekankan bahawa tiada sebab untuk menangguhkan proses berkenaan.
“Dengan apa juara cara, saya mesti meyakinkan semua kerajaan dan pemimpin ASEAN serta menggunakan segala sumber dan keupayaan yang saya miliki untuk memastikan Timor-Leste menjadi anggota penuh ASEAN. Inilah komitmen teguh Malaysia,” kata beliau dengan disambut tepukan gemuruh.
Anwar turut memberi jaminan syarikat Malaysia yang melabur di Timor-Leste akan melakukannya dengan penuh tanggungjawab, dengan penekanan pada perkongsian dan manfaat bersama, tidak seperti amalan eksploitasi yang sering dikaitkan dengan syarikat multinasional.
“Ya, melabur dan meraih keuntungan, tetapi sentiasa diingatkan supaya tidak mengulangi amalan berlebihan yang mengeksploitasi, sebaliknya harus memperkasakan,” kata beliau.
Anwar yang mewakili Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, turut menyentuh hubungan peribadinya dengan Timor-Leste, mengimbau peranan Presiden Dr Jose Ramos-Horta serta kepimpinan negara itu yang sentiasa mempertahankan kebebasan dan keadilan, termasuk ketika beliau sendiri berdepan cabaran politik.
“Siapa yang bersuara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)? Bukan kuasa-kuasa besar, tetapi suara pemimpin kecil seperti Ramos-Horta. Saya menyanjung anda atas keberanian itu,” katanya.
Beliau berkata, sokongan Malaysia terhadap Timor-Leste tidak hanya terbatas pada hubungan diplomatik, tetapi juga terjalin atas dasar persahabatan yang tulus.
“Kita bukan hadir sebagai wakil sebuah kerajaan, tetapi sebagai rakan seperjuangan – untuk berkongsi rasa, aspirasi dan bersama-sama membina kemajuan,” tambah Perdana Menteri.



