Malaysia Memimpin Naratif Serantau melalui AIPA 2025

Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur minggu lalu telah memperkukuhkan lagi peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan kejayaan menghasilkan 24 resolusi yang merangkumi isu politik, keselamatan, ekonomi dan sosial.

Bertemakan “Parlimen di Barisan Hadapan untuk Pertumbuhan Inklusif dan ASEAN Mampan”, AIPA yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah membawa beberapa mesej penting daripada Ahli-Ahli Parlimen ASEAN kepada para pemimpin negara ASEAN.

Sidang ini memperlihatkan Ahli Parlimen negara-negara ASEAN tampil lebih berani, progresif dan melihat kehadapan dalam memperjuangkan suara rakyat rantau ini. Selama hampir seminggu, perwakilan parlimen dari sembilan negara anggota ASEAN bersidang bersama rakan pemerhati dan rakan pembangunan antarabangsa.

Meninjau Resolusi

Hal Ehwal Politik telah meluluskan sembilan (9) resolusi yang menumpukan kepada inisiatif keamanan, situasi kemanusiaan di Myanmar, jenayah siber rentas sempadan, serta pengukuhan diplomasi parlimen bagi mencapai Visi Komuniti Politik.

AIPA menegaskan sokongan kepada pendekatan damai dan dialog inklusif di Myanmar, sejajar dengan prinsip ASEAN yang menolak kekerasan sebagai jalan penyelesaian.

Pada masa yang sama, kebimbangan terhadap jenayah siber rentas sempadan mendorong AIPA menggesa pembentukan kerjasama perundangan dan penguatkuasaan yang lebih kukuh di seluruh rantau. Ia menandakan kesedaran baharu bahawa ancaman digital boleh mengganggu kestabilan politik dan ekonomi sekiranya tidak ditangani segera.

Hal Ehwal Ekonomi meluluskan tujuh (7) resolusi untuk memajukan kemakmuran bersama yang mampan dengan memperkukuh perdagangan karbon, memanfaatkan transformasi digital, dan mewujudkan kerangka undang-undang bersama bagi ekonomi digital.

AIPA memperlihatkan aspirasi besar rantau ini untuk muncul sebagai kuasa ekonomi masa depan dengan memfokuskan kepada perdagangan karbon sebagai sebahagian daripada ekonomi hijau, transformasi digital yang menyeluruh, serta pembentukan kerangka undang-undang bersama bagi ekonomi digital.

Resolusi-resolusi ini bukan sahaja melambangkan kesediaan ASEAN menghadapi cabaran global, tetapi juga menegaskan komitmen parlimen rantau ini terhadap pembangunan mampan dan inovasi teknologi.

Hal Ehwal Sosial meluluskan lima  resolusi yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan rakyat melalui latihan kemahiran, menangani cabaran dadah, memperkukuh perlindungan sosial, serta menggalakkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang mampu milik.

Isu-isu ini diangkat dengan harapan rakyat dapat menikmati hasil pembangunan yang lebih adil dan inklusif. Kesemua ini mencerminkan wajah AIPA sebagai suara yang benar-benar berpihak kepada rakyat, bukan sekadar elitis politik.

Peranan wanita dan belia turut diberi ruang melalui dua sayap penting AIPA, iaitu Persatuan Wanita Ahli Parlimen ASEAN (WAIPA) dan Perhimpunan Belia Parlimen ASEAN (YPA) melulus tiga resolusi  yang mengiktiraf kepentingan kepimpinan wanita serta keperluan memastikan aspirasi generasi muda dirangkum dalam diplomasi parlimen.

Ini menjadikan AIPA semakin inklusif dan mempunyai peranan yang lebih luas melangkaui elit politik dalam kalangan ahli Parlimen kanan.

Malaysia sebagai Tuan Rumah

Sebagai tuan rumah, Malaysia berjaya memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang dianggap sebagai pencapaian bersejarah. Antaranya ialah Model AIPA ke-5 yang buat pertama kali diadakan di luar Jakarta. Kuala Lumpur menjadi tuan rumah untuk program ini yang memberi peluang lebih luas kepada belia menyertai proses simulasi parlimen.

Persidangan dan Pameran “Kini & Masa Depan” pula menjadi jambatan antara penggubal dasar, belia, perniagaan dan masyarakat sivil, sekali gus membawa diplomasi parlimen lebih dekat dengan realiti kehidupan rakyat. Tidak kurang penting, pelancaran lagu rasmi “Bersama Kita Maju” memperkukuh identiti budaya dan komunikasi AIPA, menjadi simbol kesatuan dan ketahanan rakyat ASEAN.

Di sebalik semua kejayaan ini, nama Tan Sri Johari Abdul wajar disebut sebagai penggerak utama yang memberi nafas baharu kepada AIPA. Sebagai Presiden AIPA ke-46, beliau bukan sahaja berjaya mengemudi persidangan dengan lancar, tetapi juga meninggalkan legasi bahawa ahli-ahli parlimen serantau mampu menunjukkan komitmen bagi membantu menjayakan Visi ASEAN 2045.

Johari menekankan pentingnya parlimen berdiri seiring dengan kerajaan dalam menangani cabaran serantau, agar suara rakyat benar-benar mendapat tempat dalam proses integrasi ASEAN. Keupayaan beliau memimpin persidangan yang menghimpunkan 9 negara anggota, 14 pemerhati, serta 8 rakan pembangunan antarabangsa jelas menunjukkan karisma dan kredibilitinya di mata rantau.

Menuju ASEAN 2045

Dengan berakhirnya Sidang Agung ke-46 ini, baton kepimpinan kini diserahkan kepada Filipina yang akan menjadi tuan rumah AIPA tahun hadapan. Namun gema Kuala Lumpur akan terus dikenang sebagai sidang yang memperkukuh asas bagi AIPA menuju Komuniti ASEAN 2045 – komuniti yang bukan sahaja berasaskan keamanan dan kemakmuran, tetapi juga keterangkuman yang meraikan suara rakyat.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat