KOTA BHARU – Memakai pakaian berwarna hijau terang, potongan rambut botak adalah ciri-ciri rupa 10 orang Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang telah didapati lolos dari Depot Imigresen Tanah Merah dan kini sedang giat diburu.
Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, kesemua mereka masih memakai pakaian tahanan yang digunakan di depot itu dan ada nombor pengenalan dicetak pada pakaian mereka antaranya 18101 dan 18802.
“Lokasi terakhir kesemua pendatang itu dikesan ialah di Bukit Tebu, Tanah Merah dan orang awam diminta menyalurkan maklumat sekiranya terserempak atau mengetahui keberadaan mereka.
“Daripada 10 pendatang berkenaan, tujuh merupakan warga Thailand manakala masing-masing seorang warga Indonesia, Bangladesh dan etnik Rohingya,” katanya.
IPK Kelantan memberi nasihat kepada orang ramai supaya tidak bertindak sendiri sekiranya mengenal pasti mana-mana orang yang ada ciri berkenaan tetapi perlu terus menghubungi pihak berkuasa.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada DCC Tanah Merah menerusi talian 09-955 6222 (Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah), 09-955 6223 (Balai Polis Tanah Merah) atau WhatsApp 011-2955 5518.
Sehingga hari ini, seorang tahanan telah berjaya ditangkap semula pada hari yang sama dan kini polis sedang memburu baki sembilan daripada mereka.
Kejadian meloloskan diri berlaku pada awal pagi semalam, kira-kira pukul 3 pagi.
Polis Kelantan turut melancarkan Op Tutup dengan mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi tertentu dan sempadan untuk menyekat pergerakan mereka.



