PUTRAJAYA — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan OPS TIRIS kepada FASA 2.0 sehingga 31 Disember 2023.
Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya akan melaksanakan langkah pemerkasaan gerak kerja penguatkuasaan di bawah pelaksanaan OPS TIRIS bagi memastikan ketirisan subsidi minyak diesel dapat dibanteras.
“Berdasarkan statistik penguatkuasaan OPS TIRIS bermula 1 Mac 2023 sehingga 23 Ogos 2023, sebanyak 10,351 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara, manakala sebanyak 121 aduan telah diterima berhubung isu berkaitan dalam tempoh yang sama.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 459 kes telah direkodkan yang melibatkan rampasan dan sitaan ke atas 4.31 juta liter minyak diesel bernilai RM9.23 juta dan aset serta peralatan lain sebanyak RM25.24 juta menjadikan nilai keseluruhan berjumlah RM34.48 juta,” katanya dalam satu sidang media di Dewan Serbaguna KPDN Putrajaya hari ini.
Jelasnya sebanyak 379 tangkapan juga telah dilakukan dalam tempoh yang sama melibatkan 305 individu merupakan warganegara, 71 individu merupakan warga asing manakala 3 individu adalah pemastautin tetap.
“Bahagian Penguatkuasa KPDN telah berjaya membuka sebanyak 459 kes termasuklah 225 kes serahan yang diterima daripada rakan agensi strategik iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Berdasarkan analisis data yang dilakukan, tindakan penguatkuasaan melalui pelaksanaan OPS TIRIS telah menunjukkan impak positif,” katanya.
Selain meneruskan operasi sedia ada, antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan melalui OPS ini adalah perluasan skop siasatan yang menyeluruh meliputi rantaian bermula daripada sumber pembelian bekalan sehingga kepada pembeli haram (illicit buyer).
“Ini bertujuan untuk mendapatkan gambaran terperinci berhubung keseluruhan rantaian pasaran gelap minyak diesel yang disyaki turut melibatkan sindiket.
“Selain itu, OPS TIRIS FASA 2.0 akan melibatkan komponen Business Intelligence Unit (BIU) atau Unit Risikan Perniagaan yang akan beroperasi di bawah Bahagian Penguat Kuasa KPD bermula 1 September 2023,” katanya.
Melalui platform OPS TIRIS 2.0 juga, Bahagian Penguat Kuasa KPDN akan merintis risikan terhadap ketirisan subsidi lain seperti LPG, Minyak Masak, Beras dan Gula.
Untuk rekod, OPS TIRIS telah dilancarkan oleh KPDN pada 1 Mac 2023 sehingga 31 Ogos 2023 selama 6 bulan bertujuan membanteras penyelewengan dan penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang telah menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan serta mengakibatkan ketirisan berlaku setelah sebahagian bekalan diesel bersubsidi tidak sampai kepada golongan sasar.