SEREMBAN – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh yakin kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak akan kekal lama kerana dibayangi pengkhianatan dan tidak setia sebagai politik persahabatan.
Pemimpin DAP itu mendakwa, masing-masing BN-PN bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dan akan memijak satu sama lain untuk naik ke atas.
“Malam tadi saya turun berkempen di Kuala Klawang, Jelebu untuk membantu sahabat saya Datuk Ir Bakri Sawir yang bertanding mempertahankan kerusi Pakatan Harapan (PH) di DUN Klawang yang telah dimenanginya pada tahun 2018 dan 2023.
“Saya mengangkat tema politik persahabatan dalam ucapan saya. Saya imbas semula segala kekuatan dan kelemahan parti-parti dalam PH yang mengikat kami sehingga ke hari ini.
“Saya ingatkan kepada mereka yang hadir supaya tidak risau atau teruja melihat kerjasama antara BN dan PN.
“Kerjasama itu tidak akan kekal lama kerana ianya dibayangi dengan pengkhianatan dan mereka yang tidak setia kepada sebuah politik persahabatan.
“Saya bandingkan kerjasama mereka seperti kapal dalam filem Titanic yang akan karam bila-bila masa sahaja.
“Mereka bersorak gembira pada awal pelayaran, namun karam akhirnya akibat melanggar bongkah ais besar yang gagal dilihat berada di depan.
“Masing-masing bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dan akan memijak satu sama lain untuk naik ke atas. Mereka pun tidak mahu rakan kerjasama mereka berjaya,” kata Hannah.
Ahli Parlimen Segambut itu berkata, yang mahu dijulang, hanyalah pucuk masing-masing.
“Begitulah perumpamaan kerjasama BN dan PN hari ini. Mereka seperti kapal Titanic yang hanya menunggu masa untuk karam kerana tidak memiliki nilai politik persahabatan.
“Kesetiaan kami pada kerjasama ini telah terbukti. Kami PH -PKR, Amanah dan DAP – setia berjuang dan mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga beliau diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10 hari ini.
“Kami kekal dengan hanya seorang kapten dalam sebuah nakhoda,” katanya.
“Hannah menegaskan, memenangkan calon-calon PH adalah simbol kita mempertahankan nilai sebuah politik persahabatan. Ianya yang tidak ada dalam mana-mana kerjasama politik selain Pakatan Harapan.
“Kekalkan PH, akan kekalah kerajaan dan para pemimpin yang setia dengan nilai politik persahabatan ini. Percayalah,” ikrar beliau.



