Oleh Zihan Zari
BANGI – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP/DOSH) telah melancarkan Sistem Bersepadu Pengurusan Bahan Kimia (IICMS) sebagai satu platform digital bersepadu bagi memperkukuh pengurusan dan pengawalseliaan bahan kimia industri di Malaysia.
JKKP dalam kenyataan berkata IICMS (Industrial Integrated Chemical Management System) dibangunkan sebagai sistem berasaskan web yang mengintegrasikan pengurusan inventori dan daftar bahan kimia berbahaya, penentuan lokasi bahan kimia serta penilaian risiko dalam satu platform bersepadu.
Majlis peluncuran IICMS telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, Sutekno Ahmad Belon di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah JKKP, Ir. Ts. Hjh. Hazlina Yon; Timbalan Ketua Pengarah JKKP (Keselamatan Pekerjaan), Bahrudin Mamat; dan Timbalan Ketua Pengarah JKKP (Kesihatan Pekerjaan), Ir. Ahmad Jailani Mansor.
“Pembangunan IICMS telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dengan peruntukan sebanyak RM2.6 juta.
“Sistem ini merupakan penambahbaikan kepada Chemical Information Management System (CIMS) yang digunakan bagi pengemukaan inventori bahan kimia berbahaya selaras dengan keperluan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pelabelan dan Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia Berbahaya) 2013 [CLASS 2013], ”kata kenyataan itu.
“Sehingga kini, sebanyak 2,015 akaun berdaftar dan 4,568 pengemukaan inventori telah direkodkan melalui CIMS.
“Selain berfungsi sebagai pangkalan data bersepadu bahan kimia industri, IICMS juga dapat membantu pasukan tindak balas kecemasan memperoleh maklumat bahan kimia dengan lebih cepat dan tepat semasa berlakunya insiden atau bencana.
“KESUMA berharap penggunaan IICMS secara meluas oleh industri akan meningkatkan tahap pematuhan perundangan, memperkukuh pengurusan maklumat bahan kimia serta menyokong agenda pendigitalan perkhidmatan kerajaan ke arah pendigitalan menyeluruh (end-to-end digitalisation),”katanya lagi.
Ujarnya, pelancaran IICMS membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan melalui penggunaan teknologi digital, sekali gus menyokong pembangunan industri yang lebih selamat, mampan dan berdaya saing. – SUARA.TV



