JELEBU – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh yang mendakwa kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN)
seperti kapal dalam filem Titanic yang akan karam bila-bila masa sahaja.
Tanpa berbasa-basi, Presiden Umno itu mengingatkan pemimpin DAP itu supaya menanti keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos nanti untuk menyaksikan kapal siapa yang bakal karam.
“Kita tengok siapa yang karam dan siapa yang timbul pada 1 Ogos nanti,” tempelak Zahid.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata demikian ketika ditemui media dalam program ramah mesra bersama masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan di DUN Chennah, Jelebu pada Jumaat.
Hannah Yeoh sebelum itu berkata, beliau yakin kerjasama BN dan PN tidak akan kekal lama kerana dibayangi pengkhianatan dan tidak setia sebagai politik persahabatan.
Ahli Parlimen Segambut itu mendakwa, masing-masing BN-PN bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dan akan memijak satu sama lain untuk naik ke atas.



