KUALA LUMPUR – Lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) semalam menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS Marco Rubio bagi menyuarakan rasa tidak berpuas hati terhadap tindakan tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu mengusir segera rakyat Israel berada di Malaysia.
Ahli Kongres AS itu terdiri daripada Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss daripada parti Demokrat.
Berdasarkan surat yang dimuat naik Landsman di akaun Facebooknya, Ahli Kongres terbabit menyuarakan kebimbangan yang amat serius terhadap kenyataan Anwar.
Susulan itu, mereka mendesak agar kerajaan AS mengambil tindakan tegas kerana kenyataan Anwar didakwa cenderung bersifat antisemitisme.
Mereka turut mendesak kerajaan AS menarik bantuan keselamatan disalurkan kepada Malaysia, termasuk membabitkan program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) untuk membiayai tentera Malaysia bagi menerima latihan ketenteraan profesional di negara itu.
Sekiranya Malaysia enggan membatalkan dasar yang didakwa berunsur diskriminasi ini dalam tempoh 15 hari, mereka menggesa pembiayaan di bawah program IMET digantung.
Dakwa mereka lagi, Malaysia kononnya menjadi tempat latihan Hamas kerana mempunyai hubungan terbuka dengan kumpulan pejuang Palestin itu.
“Berdasarkan kelebihan diplomatik yang dimiliki, kami percaya (kerajaan) AS perlu menjelaskan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar) Ibrahim dan kerajaannya bahawa bantuan serta sokongan kami menyusul jangkaan bahawa, mereka tidak akan menyasarkan rakyat dari salah satu sekutu paling rapat kami.
“Oleh itu, kami menggesa agar satu semakan dilakukan terhadap hubungan keselamatan dan ekonomi antara AS dengan Malaysia bagi memastikan hubungan tersebut benar-benar memenuhi kepentingan terbaik AS.
“Kami dengan hormat memohon agar Jabatan Negara (AS) menjelaskan langkah-langkah yang sedang diambil sebagai tindak balas terhadap kenyataan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar) Ibrahim.
“Kami dengan tegas menggesa agar jabatan menggunakan segala instrumen yang ada bagi memastikan kerajaan Malaysia bertanggungjawab atas tindakannya,” kata mereka memetik BH pada Rabu.
Minggu lalu, Anwar menegaskan kerajaan akan mengusir rakyat Israel yang didakwa memiliki dua kewarganegaraan dan menetap di negara ini.
Anwar menegaskan Malaysia sesekali tidak akan berkompromi dengan keadaan itu, jika dakwaan terbabit terbukti benar.
Beliau mengulas gesaan kerajaan Johor yang meminta pihak berkuasa menyiasat komuniti teknologi di Forest City yang dikenali sebagai Network School susulan ada dakwaan warga Israel dengan dua kerakyatan menetap di kawasan terbabit.



