Telegram Edisi Siasat, Edisi Khas ditutup kerana langgar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) – Fahmi

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi memaklumkan tindakan undang-undang sivil diambil terhadap platform media sosial Telegram serta pentadbir saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas adalah susulan paparan kandungan yang didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, buat masa ini satu perintah sementara dikeluarkan oleh mahkamah membawa kepada penurunan kandungan dinyatakan dalam tindakan undang-undang yang difailkan dan penutupan saluran itu.

“Pada masa ini, tindakan undang-undang yang difailkan terhadap Telegram serta pentadbir saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas masih dalam pertimbangan mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, lapor Harian Metro pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai jaminan kerajaan bahawa tindakan terhadap saluran Telegram seperti Edisi Siasat dan Edisi Khas tidak akan menjejaskan kebebasan bersuara terutamanya apabila kandungan yang disebarkan berkaitan dengan isu ketelusan dan antirasuah.

Fahmi berkata rakyat secara umumnya bebas memaparkan kandungan di mana-mana saluran platform media sosial termasuk berhubung isu ketelusan dan antirasuah.

“(Ia) selagi mana kandungan tersebut serta pemaparannya tidak melanggar peruntukan undang-undang.

“Begitu juga dengan platform media sosial, di mana kandungan boleh dipaparkan di platform yang disediakan, tetapi platform tersebut perlu bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kandungan yang dipaparkan tidak melanggar peruntukan undang-undang,” katanya.

Fahmi berkata kerajaan kekal komited bagi memastikan ruang digital negara kekal selamat, beretika dan selari dengan undang-undang.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat