KUALA LUMPUR – Agensi perisikan asing termasuk Mossad, didakwa menyasarkan golongan pelajar, pempengaruh dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai ahli mereka.
Golongan itu dikatakan berisiko mudah ‘dijerat’ ejen perisikan asing kerana terpengaruh dengan bayaran lumayan yang ditawarkan kepada mereka.
Sumber keselamatan mendedahkan, kebiasaan mereka yang direkrut menjadi ejen kepada perisikan asing ini mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu, lapor Utusan.
Kata sumber, mereka akan ditawarkan dengan bayaran tertentu mengikut kepakaran dan tugas masing-masing.
“Jika dahulu bayaran mungkin akan dilakukan secara dalam talian, namun keadaan ini berubah apabila mereka mula menerima upah secara tunai.
“Keadaan ini sekali gus menyukarkan pihak berkuasa mengesan pergerakan individu-individu yang menjadi ejen kepada perisikan asing ini,” katanya kepada akhbar itu.
Sumber itu berkata, mereka yang menerima upah ini kebiasaannya akan diberi tugas tertentu termasuk melakukan penggodaman sistem di sempadan dan negara ini.
“Apabila sistem sempadan lumpuh, pintu masuk masih beroperasi seperti biasa secara manual, jadi tidak mustahil ada pihak akan ambil kesempatan untuk ceroboh,” jelasnya.
Malaysia dilaporkan menjadi sasaran Mossad susulan pendirian tegas negara dalam mempertahankan Gaza dan hubungan baik dengan Iran.
Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, badan perisik antarabangsa termasuk Mossad memang dikenal pasti telah menghantar ejen mereka ke negara ini termasuk penggunaan pasangan suami isteri rakyat tempatan yang dipercayai bersubahat dengan agensi itu.
Beliau turut merujuk kes lampau membabitkan pembunuhan pensyarah Palestin, Dr. Fadi M R Al Batsh Fatma di Setapak, Kuala Lumpur pada 2018 yang dipercayai didalangi ejen asing, selain beberapa tindakan lain yang telah dikenal pasti akan diambil tindakan.
Antara kes terkini ialah pasangan suami isteri Melayu dari Selangor yang dipercayai bekerjasama dengan ejen perisikan Israel, Mossad untuk menyeludup senjata dari Thailand.
Mereka bagaimanapun telah ditahan dan kini berada di penjara.
Atas dasar itu, kerajaan sudah mengambil langkah tambahan termasuk melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengenal pasti tindakan terbabit dan meningkatkan keupayaan keselamatan negara.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, terdapat dua insiden yang dilaporkan dan disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) disyaki didalangi oleh agensi perisikan asing.
Beliau berkata, dua kes itu melibatkan kes penculikan warga Palestin dan kes memiliki enam pucuk senjata api yang didalangi oleh kumpulan itu.
Katanya, PDRM sentiasa bersedia dalam usaha mencegah dan menangani pelbagai ancaman luaran termasuk sebarang agenda yang dibawa oleh agensi perisikan asing yang mungkin cuba campur tangan atau mengganggu-gugat kestabilan dan kedaulatan negara.
“Pelbagai mekanisme telah diambil oleh PDRM bagi memantau kemasukan warga negara asing yang masuk daripada pintu masuk negara.
“Dalam usaha ini, PDRM menjalinkan kerjasama erat dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) , Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Polis Antarabangsa (Interpol),” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Khalid menegaskan, PDRM turut memberi perhatian serius terhadap kawalan keselamatan warga asing yang tinggal lama di negara ini termasuk mereka yang bermastautin atau berada atas urusan pekerjaan seperti perunding asing.
“PDRM turut menjalin kolaborasi strategik dengan agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam aspek keselamatan negara melalui pertukaran maklumat dan pandangan secara berterusan di peringkat nasional dan antarabangsa.
“PDRM kekal komited dalam memastikan keselamatan Malaysia serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.



