KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi memberi bayangan akan membuat satu pengumuman penting pada 27 Jun ini susulan perkembangan terkini dalam UMNO Johor.
Beliau berkata, senarai calon Barisan Nasional (BN) Johor bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 yang dijangka diumumkan hari ini memperlihatkan sesuatu yang “tidak kena” kepada UMNO negeri itu.
“Hari ini BN Johor akan umum senarai calon yang akan bertanding di PRN Johor 2026.
“Melihat senarai calon tersebut ada yang tidak kena kepada UMNO Johor. Justeru saya akan membuat pengumuman penting pada 27 Jun 2026,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Puad yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit berkata, perkembangan terkini UMNO Johor amat merisaukannya.
Menurut beliau, keputusan untuk membuat pengumuman itu dibuat selepas mengambil kira kedudukan parti dan hala tuju perjuangan yang menurutnya tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
“Saya tidak akan menoleh belakang walaupun saya hanya insan kerdil,” katanya.
Enam hari lalu, Puad mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit atas faktor usia.
Beliau ketika itu menegaskan sudah tiba masanya orang muda yang terlatih dan berpendidikan diberi peluang untuk diketengahkan sebagai calon.
Bagaimanapun, Puad mendakwa pandangan tersebut tidak diindahkan.
“Saya menegaskan, orang muda terlatih dan berpendidikan semestinya diberi peluang. Tetapi tidak diindahkan.
“Saya melakukan keberanian politik untuk meneruskan perjuangan,” katanya.
Kenyataan itu dijangka mencetuskan perhatian menjelang pengumuman rasmi calon BN Johor, khususnya dalam kalangan akar umbi UMNO negeri yang sedang bersiap menghadapi PRN Johor 2026.



