Kementerian Perpaduan Negara perkenal dua inisiatif perkasa jati diri dan semangat kenegaraan

- Advertisement -

PUTRAJAYA, – Kementerian Perpaduan Negara hari ini mengumumkan pelaksanaan dua inisiatif berimpak tinggi Arkib@Sekolah dan Arkib Komuniti bagi memperkukuh jati diri, semangat kenegaraan dan kefahaman sejarah dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda dan masyarakat akar umbi.

Menterinya,YB Datuk Aaron Ago Dagang, berkata inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha kementerian menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim, untuk memperkukuh semangat perpaduan melalui penghayatan sejarah dan warisan negara.

“Kita mahu rakyat Malaysia lebih dekat dengan sejarah mereka sendiri. Arkib bukan hanya tempat menyimpan dokumen lama, tetapi sumber inspirasi dan pemangkin identiti nasional,” katanya dalam satu kenyataan.

Arkib@Sekolah, yang bertemakan Bermulanya Di Sini, membawa bahan arkib asli seperti dokumen, gambar dan artifak sejarah terus ke sekolah. Ia dilengkapi dengan pameran seperti Malaysia, Tanah Airku, bengkel interaktif, kuiz sejarah dan aktiviti kreatif seperti teka silang kata serta sesi “Kenali Wira Kemerdekaan”.

Inisiatif ini bukan sahaja memperkaya pengalaman pembelajaran murid dan pelajar, malah menggalakkan mereka menghasilkan projek berdasarkan sumber arkib, sekali gus memperkukuh kemahiran pemikiran kritikal dan kreativiti.

Sementara itu, Arkib Komuniti pula memberi ruang kepada masyarakat untuk mengumpul, mendokumentasi dan memelihara warisan tempatan secara tersusun dan sukarela. Program ini mula diperkenalkan oleh Datuk Aaron semasa pelancaran Program Wacana Ilmu di Melaka pada 20 Februari 2024, bersempena sambutan memperingati tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu tahun 1956.

“Banyak naratif sejarah, adat dan kisah tempatan belum didokumentasi secara rasmi. Arkib Komuniti membolehkan masyarakat menjadi penjaga kepada warisan mereka sendiri,” ujar beliau.

Kedua-dua program ini juga diselaraskan dengan kerangka Malaysia MADANI, yang menekankan nilai keterangkuman, ilmu dan kesejahteraan bersama. Ia dilihat mampu merapatkan hubungan rakyat dengan sejarah serta membina masyarakat yang berbudaya, berintegriti dan berwawasan.

Kementerian yakin pelaksanaan Arkib@Sekolah dan Arkib Komuniti mampu melahirkan generasi Malaysia yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berjiwa patriotik dan bertanggungjawab terhadap masa depan negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat