Tindakan tak rasional FGV, kerajaan wajib campur tangan

KUALA LUMPUR – “Janganlah ketika krisis ekonomi dan inflasi yang sedang melanda negara, tatkala rakyat disuruh bersabar dan berjimat dengan segala subsidi dipotong tetapi ada pula yang ‘mati rasa’, rakus mengaut keuntungan di tengah-tengah kesengsaraan rakyat,” kritik Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, apakah asas pertimbangan untuk naikkan elaun Pengerusi FGV Holdings Bhd (FGV) sehingga RM480,000 setahun, tidak termasuk elaun-elaun lain seperti RM2,000 setiap kali mempengerusikan mesyuarat, elaun kenderaan RM180,000 setahun dan sebuah kereta baharu 2,000 cc ke atas?

“Apakah rasional menaikkan juga elaun ahli-ahli lembaga pengarah yang lain hingga RM150,000 setahun tidak termasuk RM2,000 setiap kali mesyuarat? Soal beliau.

Sedangkan kata Asyraf, prestasi FGV tidaklah memberangsangkan.

“Harga saham terus menjunam jatuh sejak awal Jun sebanyak 16 peratus daripada RM1.73 pada 1 Jun kepada RM1.50 apabila pukul 12 tengahari semalam. (Harga waktu mula diperdagangkan RM4.55 seunit)

“Bahkan, hutang pun banyak. Justeru, walaupun pemegang saham telah pun meluluskan resolusi ini semalam, kerajaan wajar campur tangan!

Semalam, majoriti pemegang saham FGV meluluskan 13 resolusi yang dibentangkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu, termasuk menaikkan elaun Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarahnya.

Agenda AGM tersebut menyatakan elaun Pengerusi Bukan Eksekutif FGV dinaikkan daripada RM300,000 kepada RM480,000 sekali gus menjadikan elaun bulanan RM40,000 sebulan berbanding RM25,000 sebelum ini.

Pada masa sama, elaun Pengarah Bukan Eksekutif FGV bagi tempoh sama juga naik daripada RM120,000 kepada RM150,000 atau daripada RM10,000 sebulan kepada RM12,500 sebulan.