Kritik PM: Nur Jazlan wajar dikenakan tindakan disiplin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ukuran kelemahan dan kekuatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hendaklah dilihat dalam konteks kejayaan beliau menjadi Perdana Menteri di mana beliau bukan merupakan Presiden UMNO bahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pula sebenarnya kalah dalam PRU-14.

Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh menegaskan untuk membandingkan Ismail Sabri dengan Perdana Menteri UMNO lain yang menjadi Perdana Menteri dalam keadaan mereka merupakan Presiden UMNO manakala UMNO dan BN pula menguasai 2/3 majoriti kerusi Parlimen adalah satu perkara yang zalim.

Wan Hashim mengkritik Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyelar Ismail Sabri dengan menyifatkan beliau sebagai Perdana Menteri UMNO yang bercelaru, menjadi ‘tebusan’ pihak tertentu dan paling lemah dalam sejarah negara.

“Alasan yang pemimpin UMNO Negeri gunakan ini ialah kerana Ismail Sabri dikatakan lambat membuat keputusan mengenai kedudukan seorang Menteri Kabinet, Datuk Zuraida Kamaruddin, yang telah keluar dari Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada 26 Mei lalu.

“Maka ramailah yang bertanya wajarkah selaran terbuka begini dibuat terhadap seorang Perdana Menteri yang juga merupakan Naib Presiden terkanan UMNO, parti yang pihak penyelar beliau menjadi ahli dan pemimpinnya, dan apakah motif selaran ini dibuat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, jika dilihat kepada Perlembagaan UMNO jelas disebut dalam Fasal 20.8 bahawa semua ahli UMNO hendaklah Patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti; Memelihara nama baik dan maruah parti; dan Senantiasa menunjukkan tatalaku yang sopan lagi tertib.

“Pasti saja ada yang akan mengingati peristiwa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Adam, dipecat daripada UMNO oleh MKT Umno pada 7 Februari 2020 atas tindakan beliau menyelar secara terbuka Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

“Tidak dinafikan bahawa tindakan pemimpin UMNO menyelar secara terbuka mana-mana pemimpin tertingginya merupakan satu pelanggaran disiplin parti yang boleh menjejaskan nama baik parti dan boleh menyebabkan pelakunya dikenakan tindakan disiplin.

“Tindakan begini samalah dengan perbuatan menembak kaki sendiri di saat kita sedang bertarung, tidak dapat tidak ia pasti akan melemahkan keutuhan UMNO dan akan dipergunakan oleh parti lain untuk menghilangkan keyakinan rakyat kepada UMNO,” bidas beliau.

Kata Wan Hashim, apatah lagi bila pemimpin tertinggi yang diselar itu adalah pemimpin yang telah dipersetujui secara sebulat suara oleh MKT Umno pada 14 April lalu untuk dijadikan sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

Katanya, menyentuh mengenai motif selaran secara terbuka ini dibuat, tidak dapat tidak pastilah ia akan dikaitkan dengan rekod penyelar ini yang beberapa kali menghentam pemimpin UMNO yang tidak begitu bersetuju supaya PRU 15 dilangsungkan secepat mungkin.

“Oleh itu, cubaan untuk menggambarkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri UMNO yang bercelaru, menjadi ‘tebusan’ pihak tertentu dan paling lemah dalam sejarah negara ini perlulah dilihat dalam konteks PRU-15 mahu dilangsungkan secepat mungkin.

“Ada yang berpendapat penyelar inilah sebenarnya yang bercelaru, menjadi ‘tebusan’ pihak tertentu dan paling lemah kerana pelbagai kenyataan beliau amat tidak konsisten selain ditolak pengundi sendiri bila kalah dengan majoriti lebih 28,000 undi dalam PRU 14.

“Apa keperluan beliau mahu PRU-15 dilangsungkan secepat mungkin bila beliau sendiri telah mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRU 15 kerana beliau menyebut beliau sudah tahu apa keputusannya jika beliau bertanding dan mahu mengelak dari menanggung malu.

“Beliau malah turut menyebut kita perlu akui antara faktor BN menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah peratusan keluar mengundi yang rendah, namun jika peratusan keluar melebihi 70 peratus belum tentu kita boleh menang khususnya dalam PRU.

“Sepatutnya mana-mana pemimpin yang berkeyakinan rendah begini harus mengundurkan diri dari memimpin parti baik di peringkat bahagian apatah lagi di peringkat negeri bagi memberi ruang kepada pemimpin yang lebih muda dan lebih berkeupayaan untuk memimpin,” katanya.

Berbalik kepada persoalan benarkah Ismail Sabri merupakan Perdana Menteri UMNO yang bercelaru, menjadi ‘tebusan’ pihak tertentu dan paling lemah dalam sejarah negara ini.

Katanya, ia amat tidak wajar isu ini ditimbulkan kerana bukti menunjukkan perkara di sebaliknya.

“Soal pembuatan keputusan mengenai kedudukan Zuraida dalam Kabinet bukanlah satu isu kerana, satunya, ia langsung tidak menyentuh kedudukan UMNO, dan keduanya, kerana Zuraida sendiri, walaupun sudah berpindah parti, belum meletakkan jawatan.

“Pihak yang menyelar Ismail Sabri perlu ingat Perkara 43 (5) Perlembagaan Persekutuan menyebut Menteri-Menteri hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong… tetapi mana-mana Menteri boleh meletakkan jawatannya.

“Bila Menteri belum meletakkan jawatannya manakala parti yang diwakili oleh Menteri itu juga tidak pernah membuat sebarang permintaan rasmi supaya Menteri itu digantikan dengan wakil rakyat lain maka tidak berbangkit keperluan untuk Ismail Sabri membuat keputusan.

“Kejayaan beliau melakukan banyak perkara sebagai Perdana Menteri UMNO dalam suasana Umno tidak memegang kuasa secara mutlak, termasuk memulihkan negara dari pandemik COVID-19 dan melaksanakan begitu banyak transformasi, adalah menakjubkan,” jelas beliau.

Tambah beliau lagi, mendesak PRU- 15 dilangsungkan secepat mungkin dalam keadaan di mana pemimpin yang membuat desakan itu sendiri tidak mempunyai keyakinan bahawa UMNO akan menang adalah umpama tindakan ‘kamikaze’ sedangkan ‘membunuh diri’ adalah dilarang oleh agama.

Katanya, dalam konteks inilah maka kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, pada 14 Jun lalu bahawa masa terbaik untuk PRU-15 diadakan adalah sebaik sahaja Bajet 2023 dibentangkan Oktober ini menunjukkan beliau adalah pemimpin yang realistik.

“Mohamad Hasan tidak diketahui sebagai pemimpin yang suka beretorik atau menggunakan bahasa yang bombastik, sebaliknya, seperti yang beliau tegaskan dalam ucapan perasmian Konvensyen BN pada 1 Jun lalu, PRU-15 ini mesti disandarkan kepada data,” jelasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat