KUALA LUMPUR- Ketika ini adalah waktu yang kritikal bagi kita untuk menunjukkan solidariti dalam mempertahankan Perlembagaan Malaysia, yang memberikan hak istimewa kepada Universti Teknologi Mara (UiTM) dalam mendukung sistem pendidikan Bumiputera, kata Ketua Pemuda Umno Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad.
Menurut beliau, setiap tindakan yang menghina, budaya perli, atau berkata-kata sinis yang menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum) harus ditangani dengan serius.
“Kepada pemimpin politik, saya menyeru agar kita bersatu padu dalam mempertahankan integriti UiTM dan menolak segala kenyataan yang tidak langsung menjaga asas kepada tunjang pepaduan negara kita yang dicintai.
“Kenyataan yang sangat menyingung kelompok masyarakat yang banyak berkorban sejak sebelum tanah air mengecapi kemerdekaan lagi. Kenyataan yang dibuat oleh Andrew Sia juga adalah terang dan jelas melanggar 3R yang selama ini dilaungkan oleh Kerajaan Madani dan sekali gus bercanggah dengan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
“Saya mendesak agar semua komponen dalam Kerajaan Madani, kesemua 18 organisasi politik, termasuk PKR, DAP, Amanah, GPS, GRS, dan Warisan, untuk secara kolektif mengecam kenyataan yang menyebut UiTM sebagai “universiti aparteid” , katanya dalam kenyataan pada Jumaat
Tegas Mohd Farhan, ini bukan hanya tanggungjawab pemimpin dan ahli politik dari Kerajaan Perpaduan, tetapi juga tanggungjawab Perikatan Nasional (PN) untuk bersama-sama mengecam dan mengambil tindakan yang sesuai terhadap Andrew Sia.
“Ini adalah “collective responsibility” kita sebagai masyarakat yang bertamadun, menolak dengan sekeras-kerasnya hasutan yang amat bahaya jika tidak dibendung.
“Sebagai penulis kanan di MalaysiaKini, seseorang tidak seharusnya mencetuskan ketidakselesaan antara kelompok masyarakat,” ujarnya lagi.
Mohd Farhan juga menyebut, mengingat amaran yang telah diberikan oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, dan Menteri Dalam Negeri, tindakan tegas harus diambil terhadap individu yang berani membuat pernyataan dan menyentuh tentang 3R.
“Ini adalah waktu yang tepat, dan contoh yang paling baik untuk bertindak dengan cepat dan tegas, agar tidak terlihat memilih kasih atau lambat dalam mengambil tindakan atau memberi respon. “Justice delayed is justice denied”.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Akmal Saleh dan Datuk Dr Asyraf Wajidi atas tindak-balas pantas mereka terhadap kenyataan Andrew Sia, ” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas penulisan oleh Andrew Sia yang menyifatkan UiTM sebagai institusi pengajian tinggi Aparteid yang membuktikan kebodohan dan kejahilan penulis tentang sejarah pendidikan di negara ini.