‘Risau tak boleh menyanyi sebab faktor usia’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bergelar penyanyi yang cukup sinonim dengan lagu bernada tinggi bukanlah satu perkara mudah.

Melihat senario berlaku apabila ada penyanyi yang dikecam tidak mampu menarik suara, sedikit sebanyak merisaukan penyanyi bersuara lantang, Azlan & The Typewriter.

“Walaupun saya masih mempunyai kemampuan menyanyikan lagu bernada tinggi, namun, satu perkara yang sering bermain dalam fikiran, sampai bila? Suatu masa, saya pasti akan mengalami nasib sama seperti penyanyi yang dikecam netizen.

“Namun, dalam soal ini, saya juga perlu lebih realistik. Ini kerana kebolehan seseorang penyanyi sama ada mampu menyanyikan lagu bernada tinggi atau sebaliknya, ia bukan menjadi kayu pengukur terhadap kualiti seorang penghibur.

“Kena ingat, suara hanya pinjaman, bukannya hak milik kekal. Kalau kita lihat penyanyi legenda seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee, beliau tidak perlu menyanyi dengan nada terjerit-jerit.

“Andai kata kudrat sudah tidak mampu menarik suara tinggi, jangan jadikan ia sebagai halangan untuk terus mencari rezeki dalam bidang nyanyian. Selagi boleh menyanyi, teruskan sahaja,” katanya kepada BH Online.

 

Azlan (kiri) menerima Anugerah Platinum Award daripada Pengarah Urusan Indigital Music, Rozalina Mohamad Rom apabila lagu Jangan Khianati memperoleh jualan lebih RM300,000, baru-baru ini.

 

Jujurnya, Azlan berkata, terselit perasaan risau jika tidak mampu menyanyikan lagu bernada tinggi disebabkan faktor usia pada masa hadapan, namun, sudah membuat persediaan awal.

“Antaranya, saya masih boleh menurunkan ‘key’ supaya boleh menyanyi dengan selesa. Paling penting, dengan adanya studio mini yang dibina di rumah, dapat juga membantu mengadakan latihan nyanyian pada waktu senggang.

“Mungkin penyanyi yang sering menyanyikan lagu bernada tinggi boleh mengamalkan apa yang dipraktikkan. Buat latihan menyanyi dengan betul agar kemampuan dapat dikekalkan,” katanya.

Azlan atau nama sebenarnya, Nor Azlan Rosle Sallehudin berkata, dia bersyukur apabila lagu Jangan Khianati Aku dikurniakan Anugerah Platinum Award oleh syarikat rakaman, Indigital Music, baru-baru ini.

“Anugerah ini berdasarkan jualan lagu yang memperoleh lebih RM300,000.

“Saya sifatkan penghargaan ini sebagai satu pencapaian peribadi, lebih lagi, ketika era pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada penggiat seni.

“Kejayaan ini tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan semua pihak. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan diberikan terhadap lagu yang disifatkan cukup istimewa ini,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat