Kejayaan perangi Covid-19, Ismail Sabri dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Perubatan oleh Universiti Nihon

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perubatan oleh Universiti Nihon, Tokyo, Jepun susulan kejayaannya menggalas amanah sebagai Menteri Kanan Pertahanan Kluster Keselamatan yang bertanggungjawab menerajui serta mempengerusikan mesyuarat khas menteri-menteri dalam memerangi ancaman pandemik Covid-19.

Pun begitu, Ismail Sabri menganggap ijazah yang dianugerah kepadanya bukan untuk dirinya sebaliknya untuk seluruh Keluarga Malaysia yang bersatu hati bersama kerajaan untuk menghadapi pandemik Covid-19.

“Sejujurnya anugerah ini bukan untuk saya tetapi untuk seluruh Keluarga Malaysia yang bersatu hati bersama-sama kerajaan untuk menghadapi pandemik Covid-19.

“Pada Mac 2020, saya telah diamanahkan sebagai Menteri Kanan Pertahanan Kluster Keselamatan yang bertanggungjawab menerajui serta mempengerusikan mesyuarat khas menteri-menteri dalam memerangi
ancaman Covid-19. Bermula detik itu, seluruh kekuatan dan aset digembleng secara bersama.

“Agensi-agensi kerajaan termasuk pasukan kesihatan dan keselamatan selaku barisan hadapan digerakkan secara bersepadu dalam usaha menangani wabak ini,” ucap Perdana Menteri sejurus menerima anugerah berkenaan daripada Datuk Bandar Sakamoto dan Naota di Universiti Nihon pada pagi Selasa.

Ismail Sabri malah menjelaskan segala faktor yang boleh menjadi punca kepada penularan wabak ini dikenal pasti dan ditangani sebaiknya.

Kata beliau lagi, peperangan menentang Covid-19 ini, merupakan sesuatu yang besar dan mencabar.

Ini memaksa kerajaan terpaksa bertindak tegas pada peringkat awal dengan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat tidak dibenarkan keluar rumah kecuali untuk urusan penting sahaja, kata Perdana Menteri dalam ucapan berkenaan.

“Bagaimanapun langkah ini mula difahami oleh rakyat. Bagi mendorong Keluarga Malaysia agar terus mengamalkan norma baharu bagi memutuskan rantaian Covid-19, saya telah melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu pada 8 Ogos 2020.

“Kita berperang dengan musuh yang tidak kelihatan namun berada di sekeliling kita. Setiap peperangan mesti dimenangi dan nyawa rakyat Keluarga Malaysia mesti diselamatkan.

“Alhamdulillah kita sudah hampir berjaya. Malaysia sudah membuka pintu sempadan mulai 1 April dan mulai 1 Mei 2022, prosedur operasi standard sudah mula dilonggarkan seperti pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan di kawasan tertutup dan tiada lagi penjarakan fizikal. Ini membolehkan semua sektor ekonomi dibuka sepenuhnya,” kata beliau.

Perdana Menteri juga menegaskan, inilah hasil strategi kesihatan yang berkesan dan pelaksanaan kawalan pergerakan serta sokongan penuh daripada rakyat, akhirnya kita berjaya melandaikan lengkung jangkitan pandemik Covid-19.

Selain itu, kata beliau Malaysia juga diiktiraf antara negara terbaik untuk menangani pandemik ini oleh beberapa agensi seperti Bloomberg dan Nikkei.

Kini Malaysia telah mencapai 95 peratus populasi dewasa negara yang telah menerima dua dos lengkap vaksin, katanya.

“Namun begitu, kami sedar bahawa selagi dunia belum mencapai kadar peratusan vaksinasi sepadan, pandemik Covid-19 akan terus melambatkan usaha pemulihan ekonomi global.Tambahan pula, kedudukan Malaysia sebagai salah satu daripada 25 negara perdagangan teratas di peringkat global mendedahkan kami kepada sebarang perkembangan yang menjejaskan pengeluaran dan keupayaan logistik di seluruh dunia.

“Sesungguhnya anugerah ini merupakan satu pengiktirafan besar bukan hanya untuk saya tetapi buat seluruh Keluarga Malaysia yang telah membuktikan keupayaannya untuk menangani pandemik COVID-19 dengan cara sendiri.

“Sebelum mengakhiri ucapan, saya menyeru kepada semua supaya sentiasa berganding bahu kerana ancaman pandemik masih belum berakhir,” ulasnya.

Ismail juga menyebut, bukan itu sahaja kita juga berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu seperti perubahan iklim yang memberikan ancaman bencana alam yang dahsyat seperti kemarau dan banjir besar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat