Persatuan Peguam Syarie Malaysia sambut baik cadangan PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyambut baik cadangan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya hakim Mahkamah Syariah membuat perintah secara serentak bagi permohonan perceraian dan urusan tuntutan nafkah untuk isteri dan anak-anak.

Ia bagi mengelakkan masa yang terlalu lama diambil untuk menyelesaikan isu itu sehingga bekas isteri dan anak-anak tidak mendapat keadilan.

Presiden PGSM Musa Awang berkata, ketika ini, setiap kes yang difailkan ke mahkamah diselesaikan dengan kes perceraian terlebih dahulu sebelum memfailkan tuntutan nafkah iddah dan nafkah anak-anak.

“Tuntutan nafkah akan memakan masa yang lama sekiranya ada pertikaian antara pihak terbabit berhubung jumlah atau kadar nafkah.

“Tuntutan perceraian di Mahkamah Syariah kebiasaannya tergolong dalam tiga kategori iaitu pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, penceraian dengan talaq atau perintah serta penceraian secara taklik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Musa berkata, berdasarkan peruntukan undang-undang, nafkah anak-anak boleh dituntut sama ada suami isteri sudah disahkan bercerai atau belum bercerai.

“Walaupun lafaz perceraian belum disahkan oleh mahkamah atau pihak terbabit belum lagi bercerai, tuntutan nafkah anak-anak boleh difailkan ke mahkamah.

“Hakim Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kadar nafkah anak-anak yang munasabah berdasarkan kemampuan dan taraf kehidupan pihak terbabit.

“Sekiranya suami (bapa) bersetuju dengan kadar nafkah yang dicadangkan oleh isteri (ibu) atau mungkin lebih sedikit daripada jumlah dicadangkan berdasarkan kemampuan suami, maka dengan persetujuan itu mahkamah boleh memerintahkannya sebagai perintah,” katanya.

Beliau berkata, pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sudah mengeluarkan Arahan Amalan Mahkamah Syariah No 5 2019-Garis Panduan Skala Pentaksiran Jumlah Nafkah Anak yang boleh dijadikan panduan oleh Hakim-Hakim Syariah dalam membuat penentuan kadar nafkah munasabah.

“PGSM optimis bahawa cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini boleh dilaksanakan dengan baik sekiranya mendapat kerjasama semua pihak terbabit.

“Ini termasuk pihak litigan, Mahkamah Syariah termasuk Peguam-Peguam Syarie, dengan meletakkan matlamat memberikan keadilan sebagai keutamaan,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kerajaan bersetuju mencadangkan supaya hakim Mahkamah Syariah membuat perintah secara serentak bagi permohonan perceraian dan urusan tuntutan nafkah untuk isteri dan anak-anak.

Ismail Sabri Yaakob dipetik berkata, ia bagi mengelakkan masa yang terlalu lama diambil untuk menyelesaikan isu itu sehingga bekas isteri dan anak-anak tidak mendapat keadilan.

-NST

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat