Modernasasi Sektor Tani & Agro Makanan Sebagai Mekanisme Pemulihan Ekonomi Negara

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) mengambil maklum hala tuju sektor agro makanan negara yang telah digariskan di bawah RMKe-12 dan bersetuju untuk memberi fokus terhadap usaha modenisasi dan menggalak pertanian pintar.

Memetik satu kenyataan media hari ini, Perdana Menteri berkata perbincangan adalah melibatkan pembentangan-pembentangan oleh pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Syarikat Aerodyne Group bersama ahli-ahli EAC dan tokoh usahawan tani Malaysia.

Mesyuarat juga menetapkan bahawa Sekretariat EAC; Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Kewangan (MOF) dan MAFI mengambil tindakan selanjutnya bagi melaksanakan cadangan kerjasama awam swasta yang dibentangkan oleh Aerodyne Group melalui kertas pembentangan Transformasi Pertanian Malaysia dan keperluan tanah
berkeluasan 40 hektar bagi Projek Perintis.

Melangkah kehadapan, Perdana Menteri berharap agar sektor tani dan industri pengeluaran makanan negara dapat bergerak maju dan memacu usaha pemulihan ekonomi demi kesejahteraan negara dan Keluarga Malaysia.

Kerajaan jelas beliau, pada prinsipnya bersetuju supaya MAFI berbincang dengan Kerajaan-kerajaan Negeri bagi menangani masalah tempoh Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang dihadapi oleh usahawan-usahawan tani untuk pertanian agar dapat memanjangkan tempoh sewaan atau pajakan bagi mewajarkan pelaksanaan projek-projek pertanian berdaya maju.

Mesyuarat bersetuju agar ketiga-tiga kertas yang dibentangkan iaitu Cadangan Modenisasi dan Pertanian Pintar Melalui Pemerkasaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Pembangunan Bakat Usahawan Tani Negara 2022-2027 dan Transformasi Pertanian Malaysia dinilai secara bersekali sebagai satu inisiatif komprehensif mengukuhkan sektor pertanian negara.