Shah Alam, Selangor – Dunia e-sukan semakin berkembang pesat di Malaysia, dan Selangor kini mengambil langkah besar dalam memperkasakan bakat muda melalui kejohanan Selangor Future Cup 2024/2025: Lahirnya Lagenda. Dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Selangor dan Pejabat Exco Belia, Sukan & Keusahawanan, dengan kerjasama Selangor Red Giants (SRG) dan TODAK, kejohanan ini bukan sekadar medan pertandingan, tetapi juga satu inisiatif untuk membina masa depan belia melalui gabungan esukan dan pendidikan.
Kejohanan ini berjaya menarik penyertaan 64 sekolah dari seluruh negeri Selangor, dengan 384 pelajar bersaing dalam permainan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di pentas yang kompetitif. Suasana di AEON Mall Shah Alam menjadi saksi kepada kemunculan bintang-bintang baharu dalam dunia esukan, yang bukan sahaja berjuang untuk gelaran juara, tetapi juga peluang untuk melanjutkan pendidikan dalam bidang berkaitan esukan.
Selepas dua hari pertarungan yang sengit, SMK Kota Kemuning (Kuala Selangor) berjaya dinobatkan sebagai juara sulung kejohanan ini. Kemenangan mereka bukan sekadar membawa pulang piala, tetapi juga hadiah bernilai tinggi, termasuk biasiswa RM160,000 tajaan TODAK Academy bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Kemahiran Malaysia (DKM). Selain itu, sekolah mereka turut menerima penajaan pembangunan fasiliti esukan bernilai RM30,000 serta wang tunai RM5,000.
Di tempat kedua, SMK Saujana Utama menunjukkan prestasi cemerlang, diikuti oleh SMK Seksyen 19 dan SMK Bandar Sunway di tempat ketiga dan keempat. Kejohanan ini membuktikan bahawa bakat-bakat muda dalam esukan semakin menyerlah dan berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Menurut Timbalan Presiden TODAK, En Mohd Ikmal Fareeq Bin Shamsul Bahri, kejohanan ini merupakan permulaan kepada satu perubahan besar dalam industri esukan tempatan. Beliau menegaskan bahawa esukan tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar permainan atau hiburan, tetapi sebagai satu platform pembangunan karier yang seimbang dengan pendidikan.
“Kami tidak mahu hanya melahirkan pemain e-sukan yang berbakat, tetapi juga individu yang mempunyai hala tuju pendidikan yang jelas. Ini adalah misi kami di TODAK – memastikan e-sukan tidak lagi dilihat sebagai satu pilihan yang tiada masa depan. Dengan biasiswa dan program pembangunan, kami mahu menghapuskan stigma bahawa e-sukan hanya tentang kemenangan dan wang hadiah,” katanya.
Sepanjang kejohanan berlangsung, kehadiran ibu bapa dan guru-guru turut menunjukkan sokongan yang semakin kukuh terhadap e-sukan. Bagi sesetengah ibu bapa, e-sukan masih dianggap sebagai aktiviti yang tiada masa depan, namun kejohanan ini membuka mata mereka terhadap potensi besar yang boleh dimanfaatkan melalui laluan pendidikan dan pembangunan atlet profesional.
“Banyak ibu bapa masih ragu-ragu dengan e-sukan kerana mereka tidak nampak hala tuju yang jelas. Inilah sebabnya kami wujudkan laluan pendidikan ini – supaya mereka tahu bahawa anak-anak mereka bukan sekadar bermain, tetapi juga sedang membina masa depan. Ini adalah satu langkah awal untuk mewujudkan ekosistem e-sukan yang lebih mampan dan profesional,” tambah En Mohd Ikmal Fareeq.
Kejohanan ini turut mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak termasuk Moonton Student Leaders (MSL) yang menaja in-app diamonds sebagai hadiah kepada peserta, serta AEON Mall Shah Alam sebagai penaja rasmi lokasi pertandingan. Dengan adanya kerjasama strategik antara pihak kerajaan, industri esukan, dan institusi pendidikan, kejohanan ini berjaya menjadi pemangkin kepada perubahan landskap esukan di Malaysia.
Selangor Future Cup 2024/2025 bukan sekadar melahirkan juara, tetapi juga membuka peluang kepada bakat muda untuk melangkah lebih jauh dalam dunia esukan secara profesional. Dengan keseimbangan antara sukan dan pendidikan, kejohanan ini membuktikan bahawa esukan bukan lagi sekadar hobi, tetapi satu bidang yang mampu mencipta masa depan yang cerah. Sambutan positif daripada pelajar, sekolah, dan ibu bapa turut menjadi isyarat bahawa esukan semakin diterima sebagai satu industri yang berpotensi besar.
Dengan kejayaan edisi pertama ini, harapan diletakkan agar Selangor Future Cup dapat diperluaskan pada tahun hadapan, melibatkan lebih banyak sekolah dan memberi peluang kepada lebih ramai bakat muda untuk bersinar dalam dunia esukan, bukan sahaja sebagai pemain tetapi juga sebagai individu yang berilmu dan berkemahiran tinggi.