Perolehan Vaksin Hanya Babitkan Syarikat Pengeluar, Kerajaan Pusat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan sedia bekerjasama bagi menyelaraskan urusan pembelian vaksin COVID-19 dinyatakan kerajaan Selangor, sekiranya negeri itu mampu mendapatkan bekalan tambahan.

Ini berikutan, perolehan vaksin ketika ini adalah mutlak antara syarikat pengeluar dan kerajaan Persekutuan, tanpa membabitkan mana-mana pihak swasta dengan amalan sama diguna pakai di negara lain.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya juga sudah mengadakan sesi libat urus bersama Menteri Besar Selangor, membabitkan kerjasama pasukan bertindak di peringkat Persekutuan dengan kerajaan Selangor, walaupun negeri itu tidak mempunyai bekalan sendiri.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berkata, tumpuan utama bagi pelaksanaan PICK adalah penyelarasan antara kerajaan Pusat dan negeri, selain perlu mengetepikan perbezaan politik.

“Saya mengalu-alukan kerajaan negeri kalau berminat untuk beli bekalan sendiri, tetapi seperti disebutkan, masalah bukan pada niat atau kemampuan. Cabarannya adalah bekalan.

“Buat masa ini tiada bekalan atau pendaftaran daripada mana-mana syarikat diumumkan kerajaan Persekutuan, melainkan jika ada vaksin baharu dari China dan sebagainya yang mula dijual pada pasaran swasta.

“Kalau mereka (kerajaan Selangor) dapat bekalan vaksin, Alhamdulillah, tetapi saya juga sudah maklumkan kepada Menteri Besar Selangor, kerajaan Pusat beli untuk semua rakyat,” katanya pada Program Bicara Naratif: Vaksin COVID-19 bersama Khairy disiarkan di RTM1, malam ini.

Mengenai perolehan vaksin COVID-19 bagi pasaran swasta, Khairy berkata, perkara itu tidak berlaku ketika ini berikutan bekalan terhad, selain faktor kelulusan regulatori terhadap mana-mana pihak yang mahu membawa masuk vaksin berkenaan.

Katanya, semua vaksin COVID-19 yang ada atau sedang dinilai Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) adalah vaksin yang sudah diperoleh kerajaan Persekutuan bagi pihak rakyat negara ini.

“Memang tiada syarikat sekarang ini yang menawarkan vaksin kepada pembeli swasta. Semua jual hanya kepada kerajaan sahaja, selain dari segi kelulusan regulatori, bukan mudah untuk bawa vaksin masuk.

“Katalah kita mahu jadi ejen kepada pembekal vaksin, ia perlu melalui NPRA yang mana setakat ini tiada apa-apa permohonan daripada sektor swasta untuk mendapatkan kelulusan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, situasi itu antara lain bagi mengelak berlakunya jurang antara golongan berkemampuan dan kurang mampu terhadap akses kepada vaksin COVID-19.

“Kita tidak boleh ada mereka yang mampu beli vaksin dan potong barisan, seolah-olah vaksin boleh diberi dengan cepat kepada golongan berada, manakala mereka kurang berkemampuan perlu tunggu di belakang.

“Saya percaya vaksin ini adalah kemudahan awam yang perlu diberi secara saksama kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya

– Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat