Polemik lantik hakim jangan sampai anak muda baru tekad lawan PKR, PH – Rafizi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli mengingatkan bahawa PKR dan Pakatan Harapan (PH) telah lama berkempen untuk mempertahankan kebebasan institusi kehakiman.

Justeru katanya, adalah sangat malang sekiranya satu hari nanti, PKR dan PH dituduh melemahkan kebebasan institusi kehakiman, lalu mewujudkan satu kumpulan anak
muda baru yang bertekad melawan PKR dan PH.

Susulan peringatan berkenaan Ahli Parlimen Pandan itu menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri, tidak boleh mengetepikan kebimbangan pengamal undang-undang hanya dengan beranggapan isu ini adalah serangan politik.

“Polemik ini bermula dengan kebimbangan pengamal undang-undang bahawa kepimpinan institusi kehakiman yang seterusnya akan bertukar kepada seorang yang dilantik terus ke Mahkamah Persekutuan.

“Dengan kekosongan lebih separuh dari hakim-hakim kanan di Mahkamah Persekutuan, timbul persoalan adakah pelantikan terus itu adalah sebahagian dari perancangan untuk melangkau senarai kekananan hakim-hakim sedia ada dan mengubah kepimpinan institusi kehakiman untuk tempoh lapan tahun akan datang, memandangkan beliau hanya akan bersara wajib pada tahun 2033?

“Polemik ini menjadi makin parah apabila timbul “double standard” dalam pelantikan pelantikan lain. Apabila perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilanjutkan tiga kali berturut-turut dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan tidak dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru, sudah tentu pelbagai desas-desus akan menjadi lebih kuat.

“Sebelum ini, sebagai anggota pentadbiran dan Jemaah Menteri, pandangan saya kekal di dalam perbincangan dan tertakluk kepada keputusan akhir Perdana Menteri. Namin, sebagai Ahli Parlimen, adalah wajar untuk saya mengingatkan supaya polemik mengenai kebebasan institusi kehakiman ini ditangani sebaik mungkin, agar ia tidak diburukkan lagi,” tegas bekas Menteri Ekonomi itu dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut perkara itu Rafizi berkata, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat akan bersara wajib pada 1 Julai 2025, diikuti dengan persaraan wajib Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim pada 2 Julai 2025.

“Ini akan diikuti oleh persaraan lima lagi Hakim Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 6 bulan akan datang, iaitu Tan Sri Hasnah Datuk Mohammed Hashim (Hakim Besar Malaya) dijangka bersara 14 November 2025; Tan Sri Abdul Rahman Sebli (Hakim Besar Sabah Sarawak) dijangka bersara dalam Julai 2025.

“Manakala Tan Sri Tan Sri Nallini Pathmanathan (Hakim Mahkamah Persekutan) dijangka bersara 22 Ogos 2025; Datuk Zabariah Mohd Yusof (Hakim Mahkamah Persekutuan) dijangka bersara 10 Oktober 2025; Datuk Hanipah Farikullah (Hakim Mahkamah Persekutuan) – dijangka bersara 22 November 2025.

“Ini bermakna negara akan berhadapan dengan kekosongan lebih separuh dari keseluruhan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dalam tempoh enam bulan akan datang, yang akan memberi kesan kepada perjalanan pentadbiran undang-undang di negara ini.

“Daripada 7 hakim-hakim yang akan bersara ini, empat sebenarnya telah mendapat sambungan perkhidmatan enam bulan sebelum ini, iaitu Tan Sri Hasnah, Datuk Abdul Rahman, Datuk Zabariah dan Datuk Hanipah.

“Oleh yang demikian, saya memahami pandangan beberapa tokoh dari profesion guaman dan pengamal undang-undang yang merasakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku
Maimun dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar juga wajar diberikan sambungan perkhidmatan enam bulan, seperti mana hakim-hakim lain sebelum ini,” katanya.

Menurut Rafizi, ia bukan bersifat politik, atau ingin mempolitikkan lantikan hakim (yang ada prosesnya sendiri).

Sebaliknya kata beliau, ia adalah satu perkara munasabah mengambil kira keadaan semasa, yang mana kekosongan lebih separuh hakim-hakim Mahkamah Persekutuan akan memperlahankan perjalanan kes-kes mahkamah.

“Ramai peguam-peguam yang menghubungi saya untuk memaklumkan perkara ini serta kebimbangan mereka bahawa sebarang masalah yang timbul dari kekosongan hakim hakim Mahkamah Persekutuan akan memberi kesan besar kepada perjalanan kes di semua mahkamah (dari mahkamah tinggi hingga Mahkamah Persekutuan).

“Tambahan pula, jika sambungan perkhidmatan telah diberikan kepada hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang lain tetapi tidak kepada Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, ini akan memburukkan polemik mengenai kebebasan institusi kehakiman yang sudah pun berlegar,” kata beliau.

Rafizi berkata lagi, sebagai seorang rakyat biasa, kesedaran politik beliau bermula dengan pemecatan Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara dalam tahun 1988.

“Saya baru darjah lima ketika itu dan kebetulan Tun Salleh Abas berasal dari Besut, Terengganu seperti saya.

“Saya tidak boleh memahami kenapa seorang Ketua Hakim Negara dipecat dan dari situlah saya mengambil tahu mengenai politik dan perkara yang berlaku dalam masyarakat.

“Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tahun 1998 adalah langkah seterusnya untuk terbabit di dalam politik,” ujar Rafizi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat