WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengarah pengubahan status fail rahsia terakhir mengenai pembunuhan Presiden John F Kennedy (JFK), iaitu kes yang masih mencetuskan teori konspirasi lebih 60 tahun selepas kematiannya.
Trump menandatangani perintah eksekutif yang turut mengarahkan pendedahan dokumen berkaitan pembunuhan adik lelaki JFK, Robert F Kennedy (RFK) dan pemimpin hak asasi awam, Martin Luther King Jr, pada 1960-an.
“Ramai orang menunggu perkara ini selama berdekad. Semuanya akan didedahkan,” katanya ketika menandatangani perintah itu di Pejabat Oval, Rumah Putih, lapor AFP.
Trump kemudian menyerahkan pen digunakan ketika menandatangani perintah itu kepada pembantu sambil berkata: “Berikan ini kepada RFK Jr, anak saudara JFK dan calon bagi jawatan Setiausaha Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia.
Perintah ditandatangani Trump memperuntukkan ‘pendedahan penuh dan lengkap’ bagi fail JFK, tanpa sebarang penyuntingan, seperti diterimanya pada 2017, ketika mendedahkan sebahagian besar dokumen terbabit.
Perintah itu menyatakan, ‘pendedahan segera bagi semua rekod berkaitan pembunuhan itu adalah demi kepentingan negara’.
Trump sebelum ini, berjanji mendedahkan fail terakhir itu, selain mengulanginya ketika majlis pelantikannya, Isnin lalu.
Sejak beberapa tahun lalu, Arkib Negara AS menyiarkan ribuan rekod berkaitan pembunuhan Presiden Kennedy, pada 22 November 1963, namun masih mengelaskan ribuan fail lain dengan alasan keselamatan negara.
Ketika pendedahan besar-besaran terkini pada Disember 2022, ia menyatakan 97 peratus daripada lima juta halaman rekod Kennedy sudah didedahkan kepada umum.
Suruhanjaya Warren yang menyiasat pembunuhan Presiden berusia 46 tahun itu menyimpulkan ia dilakukan bekas penembak tepat tentera laut, Lee Harvey Oswald, yang bertindak secara bersendirian.
Namun, kesimpulan rasmi itu gagal mengurangkan spekulasi mengenai terdapat konspirasi lebih jahat di sebalik pembunuhan Kennedy di Dallas, Texas, dan kelewatan pendedahan fail kerajaan menguatkan lagi pelbagai teori berkenaan.
Tindakan Trump sebahagiannya adalah isyarat kepada antara penyokong paling terkemuka bagi teori konspirasi terbabit, Robert F Kennedy Jr (RFK Jr).
Pada 2023, RFK Jr dilaporkan berkata, terdapat ‘bukti sangat kuat mengenai pembabitan Agensi Risikan Pusat (CIA)’ dalam kes pembunuhan JFK, selain ‘bukti sangat meyakinkan’ agensi itu turut terbabit dalam pembunuhan bapanya, Robert F Kennedy, pada 1968.
Bekas Peguam Negara itu dibunuh ketika berkempen bagi pencalonan Presiden dari Parti Demokrat, Sirhan Sirhan, dengan rakyat Jordan dilahirkan di Palestin disabitkan kesalahan bagi kes pembunuhan terbabit.
Aktivis antivaksin, RFK Jr, diberi ganjaran dengan pencalonan jawatan kesihatan dalam Kabinet, selepas menarik diri sebagai calon presiden Bebas serta menyokong Trump, namun berdepan proses pencalonan yang sukar.