Mat Sabu, Syed Abu Hussin dinasihat ketepi ego rungkai krisis beras

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu serta Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (Naccol) Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal perlu mengetepikan ego masing-masing untuk menyelesaikan krisis bekalan beras putih tempatan (BPT).

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata isu berlarutan sejak dua tahun lalu itu perlu diselesaikan segera kerana membabitkan makanan ruji utama rakyat, sambil menyifatkan teguran terbuka Syed Hussin terhadap Mohamad tidak sepatutnya diutarakan.

Menurutnya, kenyataan mengatakan Mohamad gagal menyelesaikan masalah mungkin menyebabkan kerjasama kedua-duanya tidak berlaku malah semakin menjauh yang akhirnya merugikan rakyat.

Jelasnya, Syed Hussin sebagai ketua badan bertaraf majlis dan Mohamad yang mengetuai kementerian perlu mempamerkan kerjasama erat antara satu sama lain.

“Tapi sekarang seolah-olah Syed Hussin buat keputusan sendiri tanpa rujuk kementerian dan Mat Sabu pula dilihat bersikap ambil endah tak endah kewujudan majlis itu (Kluster Makanan NACCOL).

“Jadi perlu ketepi ego masing-masing kerana kalau rakyat tak nampak penyelesaian isu beras tempatan akibat tiada kerjasama, mungkin beri kesan kepada tahap sokongan kerajaan perpaduan,” memetik laporan FMT.

Rabu lalu, Syed Hussin berkata Mohamad gagal menjalankan tugas menyelesaikan isu kekurangan bekalan BPT sambil membidas presiden Amanah itu tidak serius menangani isu keterjaminan makanan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang turut menggesa kerajaan meletakkan portfolio urusan padi dan beras padi di bawah badan diketuainya.

Desakan itu menyusul kenyataan Mohamad pada 15 Jan lalu yang kementeriannya akan mengkaji penjualan beras campuran bagi mendepani kekangan pengilang khususnya Bumiputera tidak dapat menjual beras tempatan pada kadar RM26 bagi kampit 10kg.

Februari tahun lalu, Mohamad terpaksa menafikan pengumuman Syed Hussin berhubung penjualan beras putih Malaysia Madani pada harga RM30 bagi kampit 10kg kerana belum mendapat kelulusan.

Syed Hussin dilantik sebagai ketua Kluster Makanan Naccol pada Jan tahun lalu bagi membantu kerajaan menangani kenaikan harga makanan dan kos sara hidup.

Beliau yang menang atas tiket Bersatu di Parlimen Bukit Gantang pada PRU15 menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum itu.

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula berkata konflik di antara kedua-duanya tidak sepatutnya berlaku dan harus diselesaikan secara baik dengan keutamaan tumpu kepada penyelesaian isu beras.

“Syed Hussin sepatutnya membuat teguran secara dalaman untuk mengelakkan persepsi tidak sihat berbangkit,” katanya yang turut setuju krisis antara dua pemimpin itu jika tidak ditangani dengan baik akan memberi kepada prestasi kerajaan Anwar secara keseluruhannya.

“Sebaiknya Mat Sabu tidak beri maklum balas dan guna saluran tertutup supaya penjelasannya mampu melunakkan gelagat kritikal dipamerkan Ahli Parlimen Bukit Gantang.”

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat