Pendakwah bebas akui terkhilaf, mohon maaf isu penglibatan program berkaitan Gereja Unifikasi

SHAH ALAM,— Pendakwah bebas, Mahadi Mohd hari ini mengakui berlaku kekhilafan dalam penglibatannya sekitar sedekad lalu dalam beberapa program yang kemudiannya didapati mempunyai kaitan dengan Gereja Unifikasi, sambil tampil memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat susulan penularan semula gambar dan video lama yang mencetuskan polemik.

Dalam kenyataan rasmi bertulis, Mahadi mengesahkan bahawa individu yang muncul dalam bahan visual lama yang tular itu adalah dirinya, dan ia merupakan rakaman program di bawah arkib Universal Peace Federation (UPF) sejak sekitar tahun 2010.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa penglibatan tersebut berlaku dalam konteks program keamanan dunia, latihan kepimpinan serta aktiviti kemasyarakatan bersama pelbagai NGO dan wakil agama lain, dan bukan penglibatan dalam ritual atau amalan keagamaan Gereja Unifikasi.

Mahadi turut menafikan pernah berkhidmat sebagai pegawai agama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau mana-mana institusi agama di bawah Perkhidmatan Awam Negeri atau Persekutuan, sebaliknya menegaskan beliau merupakan pendakwah bebas dan jurulatih bertauliah HRDF.

Menurutnya, pada tempoh berkenaan beliau aktif dalam pelbagai pertubuhan dakwah dan latihan seperti PERKIM, Darul Fitrah, MACMA, ACCIN serta terlibat dalam program kerjasama antara agama, seni budaya dan kebajikan sosial bersama NGO bukan Islam.

Beliau mengakui pernah memakai mafla yang mempunyai logo dikaitkan dengan Gereja Unifikasi serta terlibat dalam beberapa simbolik program, namun menegaskan tindakan itu dilakukan atas jemputan rasmi dan dimaklumkan sebagai bukan ritual agama serta tidak melibatkan air suci.

Mahadi berkata hasil kajian, pemerhatian dan penilaian yang dilakukan sejak tahun 2010 mendapati ajaran Gereja Unifikasi bercanggah dengan ajaran Islam sebenar, menyebabkan beliau mengambil keputusan menghentikan sepenuhnya penglibatan dalam aktiviti berkaitan.

Dalam kenyataannya, beliau menyatakan rasa kesal dan memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan, termasuk keluarga, sahabat serta masyarakat, susulan penularan semula bahan lama itu yang menurutnya telah menimbulkan kekeliruan, persepsi negatif dan kecaman.

Beliau turut menegaskan bahawa sebagai seorang Muslim, ajaran Gereja Unifikasi adalah bertentangan dengan Islam dan wajar dijauhi serta diawasi, selain menyeru orang ramai agar menilai isu tersebut dengan sikap tabayyun dan tanpa prejudis.

Mahadi memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi sendiri seorang pengkaji kultus, Ahmad Ikram, bagi menjelaskan keadaan sebenar serta berharap kenyataan ini dapat membantu memperbetulkan persepsi awam.

Mengakhiri kenyataan, beliau menyerahkan sepenuhnya urusan tersebut kepada Allah SWT, menyatakan kesediaan menerima teguran dan menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran dalam dakwah, serta berharap isu berkenaan diberi perhatian pihak berkuasa agar tidak berulang pada masa hadapan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat