KUALA LUMPUR – Perbezaan pandangan tidak seharusnya menghilangkan nilai kemanusiaan dan kebersamaan sebagai sebuah bangsa.
Bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, dalam suasana yang sensitif ini, beliau berpandangan semua pihak perlu menahan diri.
“Termasuk rakan-rakan dalam DAP dan juga Umno, wajar untuk kita sama-sama menunjukkan kematangan politik dengan tidak menzahirkan sebarang reaksi atau kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai meraikan keputusan mahkamah.
“Keputusan kehakiman menyentuh emosi, maruah institusi dan rasa keadilan rakyat, dan sewajarnya ditanggapi dengan penuh tanggungjawab serta empati,” nasihat beliau dalam kenyataan di Facebook.
Mengulas hal terkait titah addendum, Shamsul Iskandar berkata, beliau memahami sepenuhnya perasaan, harapan dan kegusaran yang dirasai oleh Datuk Seri Najib Razak serta para penyokong beliau berhubung keputusan berkaitan isu titah addendum yang diputuskan semalam.
“Perkara ini bukan isu kecil, dan wajar ditanggapi dengan empati, kebijaksanaan serta kematangan bersama.
“Dalam masa yang sama, kita juga perlu melihat perkara ini dalam kerangka undang-undang sedia ada. Sebarang bentuk pelaksanaan hukuman atau kaedah penahanan tidak boleh dipisahkan daripada peruntukan undang-undang serta proses kehakiman yang ditetapkan oleh negara.
“Untuk konteks, isu tahanan rumah bukanlah perkara baharu dalam sejarah Malaysia. Pada tahun 2016, kerajaan ketika itu secara rasmi menyatakan bahawa negara belum mempunyai peruntukan undang-undang khusus bagi melaksanakan tahanan rumah.
“Atas asas itu, cadangan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani hukuman dalam bentuk tahanan rumah tidak dapat dilaksanakan, meskipun terdapat pertimbangan dari sudut kesihatan dan kemanusiaan.
“Pendekatan tersebut mencerminkan satu prinsip penting dalam negara hukum: bahawa undang-undang mesti diterapkan secara konsisten, tanpa mengira individu, kedudukan atau latar belakang politik.
“Ini tidak bermakna ruang perbincangan, simpati atau pembaharuan tertutup. Jika negara merasakan keperluan untuk memperkenalkan mekanisme seperti tahanan rumah, maka ia wajar dibahaskan secara berperingkat melalui Parlimen, dengan tertib, berlandaskan Perlembagaan dan prinsip keadilan sejagat,” saran beliau.
Shamsul Iskandar turut menukilkan catatan berikut.
Sebagai pedoman bersama:
Rusa ditembak lukanya berat,
Berpilin kaki sakit merana;
Kuasa terletak pada yang berdaulat,
Pemimpin berdiri pada bijaksana.
Justeru seru beliau, dalam suasana yang mencabar ini, marilah kita semua tanpa mengira parti atau fahaman mengekalkan ketenangan, adab dan rasa hormat terhadap institusi negara, proses undang-undang, serta perasaan sesama rakyat.



