Apa sebenarnya di sebalik penghakiman Titah Addendum Tahanan Rumah Najib Razak

KUALA LUMPUR, — Penghakiman Mahkamah Tinggi semalam berhubung apa yang dikenali sebagai Titah Addendum berkaitan pengampunan Datuk Seri Mohd Najib Razak bukanlah satu keputusan menafikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya berlegar sepenuhnya pada isu pematuhan prosedur perlembagaan.

Hakim Alice Loke Yee Ching menjelaskan bahawa persoalan utama di hadapan mahkamah bukan sama ada wujud atau tidak titah tambahan yang didakwa membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah, tetapi sama ada titah tersebut dibuat mengikut kehendak Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah menerima bahawa kewujudan Titah Addendum itu tidak lagi dipertikaikan selepas Mahkamah Persekutuan sebelum ini membenarkan ia dikemukakan sebagai bukti. Namun, mahkamah menegaskan bahawa kewujudan semata-mata tidak menjadikan sesuatu titah itu sah dan boleh dikuatkuasakan.

Berdasarkan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 yang berlangsung pada 29 Januari 2024, mahkamah mendapati hanya satu keputusan dibuat dalam mesyuarat tersebut, iaitu pengurangan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun serta pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Mahkamah menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan, pertimbangan atau nasihat diberikan oleh Lembaga Pengampunan berhubung cadangan tahanan rumah. Oleh itu, titah tambahan yang menyentuh pelaksanaan hukuman secara tahanan rumah tidak melalui proses nasihat Lembaga Pengampunan seperti yang diwajibkan oleh Perkara 42.

Dalam penghakimannya, mahkamah menolak hujah bahawa Titah Addendum boleh dikategorikan sebagai “respite” yang kononnya boleh dikeluarkan secara berasingan tanpa penglibatan Lembaga Pengampunan. Mahkamah menegaskan bahawa semua bentuk kuasa pengampunan sama ada pardon, reprieve atau respite tetap tertakluk kepada prosedur yang sama di bawah Perlembagaan.

Mahkamah turut menjelaskan bahawa prinsip non-justiciability tidak menghalang semakan kehakiman dalam kes ini kerana mahkamah tidak diminta menilai kebijaksanaan atau kewajaran titah diraja, sebaliknya hanya menentukan sama ada proses perlembagaan telah dipatuhi sebelum sesuatu perintah boleh dikuatkuasakan.

Selain itu, mahkamah menyatakan bahawa mekanisme tahanan rumah tidak mempunyai peruntukan khusus dalam undang-undang sedia ada. Peruntukan pelepasan berlesen di bawah Akta Penjara 1995 adalah kuasa budi bicara Komisioner Jeneral Penjara dan tidak boleh disamakan dengan perintah tahanan rumah yang ditetapkan secara terus melalui titah tambahan.

Atas alasan-alasan tersebut, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Titah Addendum itu adalah tidak sah di sisi Perlembagaan, tidak boleh dikuatkuasakan dan tidak mewujudkan sebarang kewajipan undang-undang ke atas pihak berkuasa untuk melaksanakannya. Permohonan semakan kehakiman Najib Razak turut ditolak tanpa perintah kos .

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat