Mangsa di PPS Pahang, Selangor meningkat, negeri lain menurun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang dan Selangor meningkat malam ini manakala Kuala Lumpur dan empat negeri lain menunjukkan penurunan.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 38,086 orang di 270 PPS di sembilan daerah setakat 8 malam ini, berbanding 36,841 orang di 267 PPS petang tadi.

Setakat ini, daerah Kuantan mencatatkan bilangan mangsa tertinggi diikuti Temerloh, Bentong, Bera, Jerantut, Pekan, Lipis, Maran dan Raub.

Bagi negeri SELANGOR, Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan setakat 8.13 malam, sebanyak 22,015 mangsa banjir daripada 5,773 keluarga ditempatkan di 109 PPS, menunjukkan peningkatan, berbanding 21,385 mangsa banjir daripada 5,510 keluarga petang tadi.

Dalam pada itu, paras Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat kini berada di paras bahaya dengan ketinggian 4.6 meter setelah melebihi aras ditetapkan iaitu 4.2 meter setakat 7.45 malam tadi.

Sementara itu di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu menurun kepada 327 individu daripada 88 keluarga di lima PPS bagi daerah Seremban dan Jelebu setakat 8 malam ini.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir malam ini sedikit berkurangan iaitu sebanyak 252 orang daripada 70 keluarga berbanding 257 orang daripada 72 keluarga petang tadi yang ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata 109 mangsa masih berada di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan dan 143 lagi berada di PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib.

Jumlah mangsa banjir di KELANTAN juga menunjukkan penurunan setakat 9 malam ini, apabila 1,559 orang daripada 532 keluarga ditempatkan di lapan PPS di Pasir Mas, berbanding 1,782 orang daripada 603 keluarga, petang tadi.

Portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan hanya dua sungai utama berada pada paras bahaya melibatkan jajahan Pasir Mas iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang merekodkan bacaan 9.18 meter (m) dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang (9.14 m).

Sementara itu di KUALA LUMPUR, sebanyak 312 orang daripada 75 keluarga ditempatkan di dua PPS, manakala mangsa banjir di MELAKA kekal 150 orang daripada 37 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di Alor Gajah dan Jasin, setakat 8 malam tadi.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,613FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat