KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara mengesahkan keterangan individu dikenali sebagai Mr. H akan diambil polis di Putrajaya petang ini.
Ia susulan didakwa menjadi individu yang terlibat dalam satu video tular membabitkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.
Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses merakam keterangan individu berkenaan akan dilakukan di Balai Polis Presint 11, Putrajaya.
“Setakat ini, kita (polis) telah merakam keterangan tiga orang saksi di bawah seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
“Beberapa orang saksi lain akan dirakam percakapan dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan,” lapor Kosmo!.
Tambah Razarudin, pihaknya juga masih belum menerima sebarang laporan polis daripada pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani setakat pukul 2 petang tadi.
Terdahulu, media melaporkan Mohammad Agus dan Abdul Wahab dalam satu sidang media khas mendakwa video perbualan mereka yang tular di media sosial sebenarnya sudah disunting.
Abdul Wahab, 33, mendakwa telah diarahkan oleh individu bernama Mr. H untuk merekod video perbualannya bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.
Kelmarin, Mohammad Agus dilaporkan berkata, identiti Mr. H telah didedah kepada pihak polis ketika memberi keterangan kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang.