Rating penerimaan Anwar menurun, tak puas hati ekonomi tidak meningkat – Merdeka Center

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Rating penerimaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menurun selepas setahun pentadbirannya, menurut firma tinjauan pendapat Merdeka Center.

Membandingkan kaji selidik penghujung bulan lalu dengan Disember tahun lalu iaitu sebulan selepas Anwar mentadbir Putrajaya, firma itu berkata separuh pengundi memberi maklum balas positif berbanding 68 peratus sebelum ini.

Mengambil maklum rating Kerajaan Persekutuan ketika ini berada pada tahap 41 peratus, berbanding 54 peratus pada Disember, kaji selidik menunjukkan tahap tidak puas hati terutama berkaitan ekonomi, meningkat kepada 43 peratus daripada 19 peratus.

Merdeka Center berkata, hanya 31 peratuspengundi berpandangan negara pada hala tuju betul, manakala 60 peratus berpandangan hala tuju negara ke arah salah.

“Alasan besar (responden yang beranggapan negara menuju ke arah menyimpang) melibatkan isu ekonomi (56 peratus), kestabilan politik (13 peratus), dan kelemahan pentadbiran (9 peratus),katanya dalam kenyataan.

Merdeka Center juga berkata, isu ekonomi menjadi kebimbangan utama pengundi, dengan 78 peratus menyatakan isu ekonomi menjadi perkara paling utama didepani rakyat hari ini.

“Pada pandangan kami, kaji selidik mencerminkan jangkaan pengundi kepada pihak pentadbiran bagi menjana semula pertumbuhan ekonomi, termasuk menangani kebimbangan berlarutan terhadap inflasi dan pertumbuhan gaji rendah.

“Isu lain yang membentuk pandangan awam pada masa depan termasuk bentuk dan kaedah penarikan semula subsidi, percukaian baharu, termasuk rombakan program pemindahan tunai,” katanya.

Merdeka Center berkata, kaji selidik dilaksana dengan dana sendiri membabitkan 1,200 pengundi merangkumi 52 peratus Melayu, 29 peratus Cina, 7 peratus India, 6 peratus Bumiputera Islam, dan 6 peratus Bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawak, mencerminkan profil pengundi negara.

“Responden dipilih secara rawak berdasarkan persampelan berstrata mengikut kumpulan umur, etnik, jantina, dan kawasan pilihan raya negeri,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat