KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan memperbetul salah tafsir yang konon beliau mendakwa Terengganu, Kedah dan Perlis tidak stabil.
Ahmad sebaliknya menyebut tiga negeri pemerintahan Pas itu sebagai “swing states” bukannya tidak stabil seperti yang dilaporkan.
“Saya sebut Terengganu, Kedah dan Perlis adalah “swing states” bukan tidak stabil.
“Maksud swing states ialah PN dan BN boleh menang serta PN dan BN boleh kalah.
“Itulah sejarah politik terutama di Terengganu dan Kedah. Pemberita salah terjemah maksud saya,” jelas beliau.
Ahmad berkata demikian sebagai reaksi kepada Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden Pas Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang menyifatkan ahli Parlimen Pontian itu mengigau apabila mengatakan kedudukan tiga kerajaan negeri diterajui Perikatan Nasional (PN) iaitu Perlis, Kedah dan Terengganu sebagai tidak stabil.
“Sabar MB. Saya tidak mengigau,” ujar Ahmad.
Untuk rekod, maksud negeri swing state seperti buaian yang ada masanya BN berada di atas dan adakalanya parti itu di bawah.