Desak suruh letak jawatan itu bukannya mahu saya berundur tapi buat lebih baik – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berikrar mahu membuat lebih baik bagi menjaga kepentingan murid dan kementerian yang diterajuinya ketika ini.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu juga melihat desakan untuk beliau meletak jawatan, susulan beberapa insiden besar yang berlaku di sekolah sejak beberapa bulan kebelakangan ini sebagai satu panggilan untuk melakukan lebih baik daripada usaha yang sudah dan sedang dilaksanakan dalam sistem penyampaian Kementerian Pendidikan (KPM).

Katanya, apabila dilantik menerajui KPM, keutamaan adalah kebajikan murid.

“Jadi sebab itu saya tak rasa desakan untuk meletak jawatan itu adalah supaya saya benar-benar berundur.

“Malah, ia sepatutnya menjadikan ia sebagai satu perkara yang dilihat sebagai ‘anda perlu buat yang lebih baik’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertemuan Menteri Pendidikan dengan Editor Kanan Media, di kementeriannya, Putrajaya pada Khamis.

Semalam, sekumpulan peserta terdiri daripada pelajar, aktivis dan orang awam berhimpun di Parlimen berarak dari Taman Tugu membawa mesej mendesak agar Fadhlina berundur daripada jawatan Menteri Pendidikan.

Memorandum itu diterima sendiri Fadhlina selepas diserahkan di luar pagar Parlimen.

Fadhlina berkata, ketika ini, ada dua sosok yang digesa meletakkan jawatan iaitu Perdana Menteri dan beliau.

Menurutnya, sejak memegang jawatan itu pada 2022 lalu, banyak perkara yang terpaksa beliau hadapi dan tangani.

Namun, katanya, ia bukan bermakna beliau tidak menjalankan tanggungjawabnya.

“Saya tak defensif, banyak kelemahan sudah tentu. Tapi fokus kita masih lagi soal menambah baik, soal melakukan yang terbaik,” katanya memetik BH.

Ditanya apa pesanan dan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung apa yang berlaku membabitkan kementeriannya sejak akhir-akhir ini, Fadhlina berkata, pemimpin utama negara itu memaklumkan beliau berdepan cabaran lebih teruk ketika menjadi Menteri Pendidikan lebih 30 tahun dahulu.

Beliau berkata, ketika itu KPM dan Anwar berdepan kecaman selepas berlaku insiden kebocoran soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya fikir, satu-satunya pesanan Perdana Menteri kepada saya ialah sabar. Sebab dia kata zaman dia lagi teruk, masa dia jadi Menteri Pendidikan.

“Saya rasa dia sebut semasa Perhimpunan Agung Umno, masa itu ada soalan SPM bocor dan orang kutuk dia dan dia kata ‘kita akan buat yang lebih baik’.

“Jadi saya katakan sekarang, ‘kita akan buat yang lebih baik’,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat