SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan perlu kekal bertugas seperti biasa, gantung tugas tidak sah – Peguam Negara

KUALA LUMPUR – Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal, perlu kekal menjalankan tugas seperti biasa kerana tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menggantung tugas mereka berkuat kuasa serta-merta, adalah tidak sah.

Susulan itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata kedua-dua pegawai kanan kerajaan negeri terbabit tidak boleh dihalang daripada memasuki pejabat mereka untuk bekerja kerana ia menyalahi undang-undang.

“Tugas Mohd Zafir sebagai SUK Negeri Sembilan dan Muzalmah sebagai Penasihat Undang-Undang negeri perlu diteruskan seperti biasa. Mereka juga perlu kekal berada di Negeri Sembilan.

“Ini kerana arahan Menteri Besar Negeri Sembilan menggantung tugas kedua-dua mereka adalah tidak sah dan boleh diabaikan saja,” katanya menurut BH pada Rabu.

Malam tadi, Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas Mohd Zafir dan Muzalmah kerana hal berkaitan pelantikan termasuk penggantungan tugas kedua-dua jawatan itu terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Perkara itu seperti termaktub dalam Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Bagi pelantikan Penasihat Undang Undang Negeri yang baharu pula, ia perlu dinyatakan bahawa pelantikannya perlu mematuhi Perkara 37 UUTKNS iaitu dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Ismail dalam laporan media semalam, berkata MMKN Negeri Sembilan pada mesyuarat khasnya semalam sebulat suara menggantung tugas Mohd Zafir dan Muzalmah berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, susulan penggantungan itu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali, dinamakan untuk menjalankan tugas SUK hingga SUK baharu dinamakan Ketua Setiausaha Negara (KSN), manakala tugas memberi nasihat perundangan pula akan dilaksanakan Fahmi Adilah, seorang peguam bela dan peguam cara sehingga Penasihat Undang-Undang baharu dinamakan AGC.

Mengulas adakah penggantungan dua jawatan yang berlaku di Negeri Sembilan ini sama seperti krisis di Perak pada 2009 yang turut membabitkan penggantungan SUK dan Penasihat Undang-Undang Perak ketika itu, Mohd Dusuki berkata, kejadian itu sama dan tindakan sama juga diambil kali ini.

Ketika krisis di Perak pada 2009, KSN ketika itu, Tan Sri Sidek Hassan dan AGC memutuskan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, tidak mempunyai kuasa untuk menggantung tugas SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

KSN ketika itu menegaskan tindakan berkenaan adalah tidak sah kerana penjawat awam tertakluk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Persekutuan dan bidang kuasa tatatertib yang berkenaan, bukan bidang kuasa eksekutif negeri.

Susulan itu, SUK dan Penasihat Undang-Undang Perak diarah untuk meneruskan tugas seperti biasa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat