Hormati pembahagian kuasa negeri dan Pusat – Azalina Othman

KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu menghormati bidang kuasa Negeri Sembilan dalam menyelesaikan kemelut pentadbiran dan institusi diraja negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebarang tindakan atau keputusan berkaitan kemelut berkenaan perlu mengambil kira pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Tegasnya, ia selari dengan peruntukan Perlembagaan selain merujuk Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

“Pada pandangan peribadi saya, kita kena menghormati negeri kerana dia ada undang-undang serta Perlembagaan sendiri.

“Kerajaan Persekutuan pun ada Perlembagaan, jadi perkara ini berlainan.

“Sebelum ini saya sudah menyatakan bahawa saya adalah orang Johor dan menggunakan Adat Temenggung, ia berlainan dengan dengan isu Adat Perpatih.

“Kalau kita terlebih-lebih komen dan saya tak ada kepakaran, kita tak boleh mengelirukan orang awam kerana Negeri Sembilan agak unik berbanding negeri lain.

“Kalau kita nak memberi komen dan bukan berasal dari negeri itu, saya rasa ia agak tidak adil.

“Biarlah orang Negeri Sembilan sendiri yang mencari penyelesaian untuk Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas Program Literasi Akta Antibuli 2026 (Akta 876) dan Peranan Tribunal Bagi Antibuli (TAB) di Maktab Tentera Diraja (MTD) lapor BH pada Rabu.

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan dikemukakan 10 bekas presiden Majlis Peguam, meminta kerajaan Persekutuan campur tangan dan menyelesaikan kemelut di negeri berkenaan.

Mereka menyifatkan kemelut berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir itu menimbulkan kebimbangan serius terhadap sistem raja berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Semalam, Undang Yang Empat (Undang yang dipertikai) dan Tunku Besar Tampin mengecam usaha pihak tertentu yang didakwa cuba mencabuli prerogatif serta hak Perlembagaan mereka.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, mereka menegaskan kuasa memilih dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar adalah adat prerogatif yang turut termaktub di dalam Perkara 7, Perkara 10 serta Perkara 11 dalam UUTKNS 1959.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat