KUALA LUMPUR – Percayalah jika ada lebih dari satu payung besar hasilnya perpecahan dan kekalahan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, sesungguhnya pengundi Melayu mempunyai cukup kawasan untuk menang dan mendirikan kerajaan.
“Tetapi bukanlah niat orang Melayu untuk mendirikan kerajaan 100 peratus Melayu.
“Seperti dengan Perikatan dahulu kerajaan campuran boleh didiri dengan kaum Cina, India dan suku kaum lain,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas isu payung-payung besar, katanya sambutan terhadap cadangan payung besar amat menggalakkan.
“Setiap mereka yang ingin jadi Perdana Menteri mendirikan payung besar mereka.
“Dengan itu akan terdapat dua, tiga atau lebih payung besar dan orang Melayu pun akan sokong dan jadi anggota payung-payung ini.
“Seperti dengan keanggotaan dalam parti, orang Melayu akan berpecah. Maka payung besar pun memecah belah orang Melayu.
“Sama-samalah kita berfikir. Hendak ada satu sahaja payung besar atau beberapa payung besar. Hendak bersatu atau hendak berpecah,” soalnya.



