KUALA LUMPUR – Hakikat sebenar yang berlaku Pas tiada calon yang disepakati bukan sahaja di kalangan Perikatan Nasional (PN) tetapi juga di dalam Pas sendiri, kata Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil.
Bahkan katanya, walaupun berlori-lori calonnya, tetapi tiada seorang pun yang mampu untuk diangkat sebagai Perdana Menteri menanti.
“Kini, walaupun sudah seminggu berlalu, Pas masih gagal menamakan calon PM daripada parti itu. Walaupun Pas mendakwa mempunyai ramai calon 3-4 lori jumlahnya, namun sehingga kini tiada seorang pun yang layak dicalonkan. Kenyataan calon 3-4 lori tersebut juga dilihat memperlekehkan institusi PM.
“Walaupun ada pemimpin Pas menyebut dua nama sebagai calon PM, tetapi ia bukan calon rasmi Pas. Ada rakan saya menyamakan kenyataan calon 3-4 lori itu seumpama lembu-lembu korban, tetapi saya tidak bersetuju dengan perumpamaan tersebut.
“Bagi saya, itulah sikap Pas yang berlagak sombong bila bercakap, tetapi hakikatnya seumpama tin kosong,” ujar Faiz.
Kata beliau, sikap sebegini bukan baharu bagi Pas – apabila bercakap tentang Islam, RUU 355 diperjuangkan tetapi membisu ketika menjadi kerajaan.
“Diumumkan hendak membentuk negeri hebat, tetapi banyak pelabur angkat kaki. Sebab itulah dalam isu pencalonan PM ini, Pas tidak mampu menamakan calon rasmi daripada parti itu.
“Kenyataan tersebut juga menunjukkan mentaliti Pas yang tidak memahami kepentingan institusi PM. PM adalah ketua kerajaan dan itulah kerusi yang diberikan kepada nabi Muhammad SAW oleh penduduk Madinah. Ini bermakna kerusi ketua kerajaan itu sangat penting di dalam perjuangan dan ia bukan satu perkara yang boleh diperlekehkan.
“Jika diambil dari sudut struktur pentadbiran Malaysia, kerajaan dibentuk dengan terlantiknya PM. Tanpa PM dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kerajaan tidak boleh dibentuk dan inilah yang berlaku setiap kali pilihanraya umum. Kerajaan juga terbubar dengan jatuhnya PM dan inilah yang berlaku ketika Langkah Sheraton di mana kerajaan PH jatuh dengan perletakan jawatan PM oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Ini kerana menurut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Agong hendaklah terlebih dahulu melantik seorang PM sebelum Jemaah Menteri dilantik (pembentukan kerajaan) menurut Perkara 43(1) Perlembagaan Persekutuan. Saya catatkan secara verbatim Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu,” katanya.
Tegas Faiz, begitulah pentingnya institusi PM kerana diperuntukkan khusus di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.
“Sikap Pas dalam isu pencalonan PM ini mencerminkan betapa tidak bertanggungjawabnya Pas dalam isu pentadbiran.
“Pas bukannya parti yang berjuang untuk mengangkat pentadbiran sebagai agenda penting, sedangkan pentadbiran adalah tunjang kepada sesebuah negara dan aspek penting dalam Islam,” katanya.
Menurut Faiz, perkara utama yang menjadi tumpuan dan perbahasan hangat ketika Muktamar Pas ke-71 minggu lalu adalah Pas secara tersiratnya menolak cadangan Bersatu yang menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri (PM) bagi Perikatan Nasional (PN).
“Lihat sahaja ucapan-ucapan perwakilan dan pimpinan utama Pas yang dilihat keras dalam menentang pencalonan Muhyiddin. Ini tidak lain menunjukkan bahawa perpecahan yang ketara sedang berlaku dalam PN.
“Dengan perpecahan yang berlaku, bagaimana PN bermimpi memimpin negara ini? Tanpa perpaduan yang kukuh dalam mana-mana koalisi, kestabilan politik tidak dapat diwujudkan dan ini melunturkan sokongan rakyat kepada PN untuk menjadi kerajaan. Dengan pengalaman yang lalu (Langkah Sheraton), kita tidak mahu episod ketidakstabilan politik masih berlaku. Malaysia memerlukan kestabilan politik dan PN tidak mampu menjamin perkara ini.
“Ini berlainan sekali dengan gabungan Kerajaan Perpaduan yang terus memberikan sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM.
“Anwar telah membuktikan beliau dapat mentadbir Malaysia dengan baik apabila kestabilan politik dapat dipertahankan selama 3 tahun pentadbiran kerajaan Madani. Tambahan pula, pertumbuhan ekonomi yang dinikmati hari ini adalah hasil kestabilan politik dalam negara,” katanya.



