PH kena pilih mahu bersama BN atau GRS, jangan jadi ‘duri dalam daging’ – Umno Sabah

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) perlu menyatakan pendirian mereka sama ada bersama Barisan Nasional (BN) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) jika kedua-dua parti itu bertembung di mana-mana kawasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Suhaimi Nasir berkata, hal ini kerana PH merupakan parti yang akan berkerjasama dengan BN dan juga GRS dalam keadaan kedua-dua parti berkenaan musuh di antara satu sama lain.

Katanya, PH perlu membuat pendirian dengan jelas untuk menyatakan sokongan tersebut supaya tidak menjadi ‘duri dalam daging’.

“Perkara ini belum lagi dibincang dengan PH. Tetapi kita mahu PH nyatakan pendirian dengan jelas, apa pendirian PH, adakah bersama dengan kita ataupun bersama dengan GRS?

“Sudah pasti akan ada kerusi yang kita akan bertembung dengan GRS. Jadi, ke mana PH ini? adakah mereka boleh duduk kempen bersama dengan kami atau bagaimana kedudukannya?

“Pendirian ini perlu dinyatakan secara jelas kerana kita tidak mahu ada yang menjadi ‘duri dalam daging’, ‘membunuh’ kita secara senyap yang akhirnya merugikan parti kita sendiri,” lapor Utusan.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memutuskan tidak bekerjasama dengan GRS pada PRN Sabah dan hanya akan bekerjasama dengan PH.

Keputusan itu telah dibuat meskipun rundingan diadakan membabitkan pemimpin tertinggi ketiga-tiga parti iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dan Zahid itu sendiri.

Mengulas lanjut, Suhaimi turut berkata, Umno Sabah perlu lebih berwaspada dalam PRN Sabah kali ini memandangkan beberapa siri pengkhianatan telah berlaku sebelum ini, di mana terdapat pihak mensabotaj rakan dalam gabungan sehingga berlakunya majoriti tipis di 20 kawasan.

“Lebih dua pertiga daripada 20 kawasan yang disebut itu disabotaj rakan dalam gabungan sendiri. contohnya di Gum-Gum, mereka pasang calon bebas yang mesra Perikatan Nasional (PN), begitu juga dengan Telupid, Banggi.

“Bagaimana nak suruh kita bekerjasama dengan GRS sekarang ini? kita tidak mahu dipatuk ular dua kali di tempat yang sama,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan sebanyak 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi dengan majoriti tipis di bawah 1,000 undi dijangka menjadi sasaran parti-parti utama yang bertanding dalam PRN Sabah tidak lama lagi.

Malah, semua kerusi tersebut dikatakan berisiko berpindah milik kepada pihak lawan dan menjadi penentu kemenangan PRN17 terutama di kerusi-kerusi yang merekodkan majoriti di bawah 700 undi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat