Oleh: Zihan Zari
ALOR SETAR – Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bakal menganjurkan Teater Semi Muzikal Kanak-kanak ‘Pulau Kucing’, pada 11 dan 12 Oktober ini, di Auditorium JKKN Kedah, Pumpong, jam 8.45 malam.
Teater Pulau Kucing ini diarahkan oleh Mohd Zulkamal Ismail (Joe K.A.S), merupakan seorang penulis dan penggiat teater yang tidak asing lagi di utara tanah air khasnya.
Joe K.A.S berkata, persiapan awal dan latihan pementasan sudah bermula dari bulan Jun bagi memastikan pementasan ini berjalan lancar,” katanya kepada Wartawan SUARA.TV.
Menurutnya, teater ini amat menarik kerana menampilkan pelakon berusia 9 tahun sehingga 20 tahun terdiri dari ahli PENTAS dan peserta bengkel taeter kanak-kanak yang dianjurkan oleh PENTAS.
“Sejujurnya, pementasan ini adalah adalah untuk mengisi ketandusan teater kanak-kanak di Kedah.
“PENTAS mengambil inisiatif ini bagi mengasah dan melahirkan bakat-bakat baru dalam dunia teater, selain menyemai cinta serta menanamkan tanggungjawab terhadap haiwan.
“Melalui pementasan ini kanak-kanak dapat mengembangkan potensi diri dan membina karektor diri yang positif,” katanya.
Ujarnya, seramai 40 orang tenaga produksi termasuk pelakon akan menjayakan pementasan selama 2 malam ini.
Menurutnya lagi, Pulau Kucing berkisar kisah seorang profesor dan pembantunya telah datang ke Pulau Kucing untuk membuat kajian tentang habitat, tabiat dan karektor kucing.
Penghuni Pulau Kucing kecoh dengan kehilangan Tam Junior dan Adek Putih. Awang Belang dan rakan-rakan berusaha mencari tetapi tidak berjumpa.
Kehadiran Tuan Sarkas menambah lagi kegusaran kepada penghuni pulau, mereka membuat poster mengedar dan menampal sana sini dalam usaha mencari Tam Junior dan Adek Putih.
Misteri kehilangan belum terjawab, apakah mereka ditangkap oleh Profesor atau Tuan Sarkas? Ini menjadi tanda tanya kepada penghuni Pulau Kucing.
Peminat seni teater dijemput hadir beramai-ramai menghayati kisah selanjutnya dengan menonton teater ini serta memberi sokongan kepada industri pementasan teater tempatan.
Dalam pada pada itu, PENTAS memaklumkan, tiket berharga RM 10.00 untuk dewasa dan RM 7.00 untuk kanak-kanak sudah mula dijual.
Bagi yang ingin membeli tiket dan keterangan lanjut bolehlah menghubungi di talian 017-569 7045. – SUARA.TV