KUALA LUMPUR – Sepuluh syarikat produksi muzik terpilih menerima Dana Kandungan Digital (DKD) 2023 Irama Perpaduan berjumlah RM500,000 bagi penciptaan lagu patriotik pelbagai jenis muzik dan genre sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Dana bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) itu diserahkan melalui Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative) dengan setiap syarikat menerima sebanyak RM50,000.
“Bertepatan dengan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”, pemberian dana ini diharap dapat menyuntik semangat perpaduan dan cinta akan negara terutama dalam kalangan belia, di samping merancakkan lagi industri muzik tanah air,” menurut kenyataan dikeluarkan MyCreative hari ini.
Kenyataan itu turut memaklumkan DKD Irama Perpaduan menerima sebanyak 53 permohonan seluruh negara namun telah disaring berdasarkan idea, kualiti serta merit.
Antara penerima DKD termasuk Faithmen Holdings Sdn Bhd yang mencipta Lagu Suara Moden Malaysia; Daqmie Music Factory (Dirgahayu Negaraku); Kaban Music Production (KMP) Sdn Bhd (Lagu Patriotik Hari Malaysia); Itos Cottage Music (Aku Kibarkan Panji) dan Shoreline Resources (Kita Kekal).
Turut terlibat, syarikat S Nazri Kausar Production yang tampil dengan penghasilan lagu Projek Single Lagu Baharu Patriotik/Kenegaraan Malaysiaku Gemilang-Apiz Paschya; Mosaic Music Events dengan Dennis (The Glory); Little Forte Music (Malaysia Madani – Tanah Airku); Red Velvet Music (War Cry) dan RR Entertainment (Irama Perpaduan Malaysia Madani). – Bernama