Kes Najib: Urusan mahkamah jadi sukar jika takut terima hukuman atas kesalahan dilakukan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Urusan mahkamah menjadi sukar jika seseorang takut untuk menerima hukuman di atas kesalahan yang telah dilakukan, kata Rafizi Ramli.

Timbalan Presiden PKR itu juga berkata, urusan mahkamah akan menjadi mudah jika individu yang didakwa tidak bersalah.

Malah, Rafizi yang pernah beberapa kali didakwa di mahkamah atas pelbagai isu itu juga berkongsi pengalaman beliau bersama peguamnya yang tidak pernah membuat sebarang sumpah laknat meskipun didakwa atas pelbagai kesalahan sebelum ini.

Kenyataan Rafizi itu dipercayai merujuk kepada prosiding rayuan akhir kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd melibat Najib di Mahkamah Persekutuan hari ini.

“Kami (Rafizi dan peguam) tidak buat sumpah laknat sebab kami yakin bukti-bukti dan fakta yang ada itu jelas. Kami tidak buat stunt berkali-kali di mahkamah dengan menukar peguam demi peguam seperti menukar tontonan video di TikTok.

“Kami tidak mencari segala alasan untuk melengah-lengahkan perbicaraan.

“Urusan di mahkamah jadi mudah bila kita tidak bersalah. Jika kita dihukum penjara pun, kita akan redha kerana kita yakin ia ujian dari Allah yang akan menaikkan darjat kita.

“Urusan di mahkamah jadi susah bila kita takut menerima hukuman atas kesalahan yang kita telah buat,” tulis Rafizi di Facebooknya hari ini.

Dalam kenyataan sama Rafizi turut berseloroh mengenai ‘amaran’ daripada peguamnya selepas menamakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abd Latiff Ahmad sebagai salah seorang ‘jerung’ dalam skandal projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Katanya, beliau dan peguam masih lagi boleh berlawak tentang kemungkinan beliau akan disaman.

“Dia (peguam) juga tahu bila saya kena saman, dia dan rakan-rakan peguam yang lain terpaksa menyediakan kes untuk membela saya secara percuma kerana saya tidak berduit dan tidak mampu membayar peguam-peguam yang mahal seperti Najib.

“Tapi mereka tidak pernah jemu dengan perangai saya dan kami terus jadi kawan sejak 2011 lagi (apabila saya mula-mula mendedahkan skandal lembu dalam kondo). Seperti biasa, kami boleh melawak lagi bila kena ke mahkamah,” ujarnya lagi.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat