Paling ‘Perform’, Annuar Musa Perlu Ada Dalam Kabinet PM9

- Advertisement -

OLEH: Ahmad Mohamad

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 2.30 petang.

Selesai bab pemilihan Perdana Menteri, persoalan kini tertumpu kepada barisan Jemaah Menteri yang akan dibentuk oleh Ismail Sabri. Ketika ini pelbagai spekulasi mula bertebaran dengan menyebut nama-nama tertentu dikaitkan dengan jawatan-jawatan tertentu. Tidak kurang juga nama-nama yang disebut-sebut tidak perlu berada dalam senarai Kabinet yang bakal dibentuk nanti.

Antara nama yang paling disebut-sebut perlu berada dalam barisan Kabinet Ismail Sabri adalah mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa. Sejak dari bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sehinggalah selepas Ismail Sabri mengangkat sumpah, saya telah menerima banyak mesej dari kenalan-kenalan yang berharap agar ahli Parlimen Ketereh itu dinamakan dalam senarai Kabinet yang akan dibentuk. Antara ‘argument’ yang diberikan mereka adalah Annuar merupakan salah seorang daripada segelintir Menteri yang ‘perform’ di bawah pentadbiran Perikatan Nasional.

Argument mereka itu sememangnya berasas. Melihatkan kepada rekod kerja Annuar sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, ramai yang beranggapan beliau seharusnya diberikan peluang untuk meneruskan kesinambungan inisiatif-inisiatif yang telah dirancang untuk kebaikan warga Wilayah Persekutuan. Imbas kembali ketika baru sahaja sebulan dilantik ke jawatan tersebut tahun lalu, Annuar tanpa berlengah telah mengumumkan pakej bantuan yang dinamakan Inisiatif Wilayah Cakna. Inisiatif ini diperkenalkan berikutan kesulitan yang dihadapi oleh masyarakat, golongan barisan hadapan dan keluarga mereka yang terkesan akibat Covid-19. Pakej bantuan ini diumumkan lebih awal daripada Pakej Bantuan Prihatin Rakyat yang diumumkan kerajaan pusat.

Menerusi inisiatif ini, pelbagai program telah dilaksanakan dan terbukti berjaya membantu orang-orang di Wilayah Persekutuan daripada terpaksa bergelut mengharungi zaman pandemik ketika ini. Jika ingin disenaraikan faedah-faedah yang telah diperolehi oleh warga Wilayah Persekutuan menerusi inisiatif Wilayah Cakna ini, memang sangat panjang. Antaranya adalah pengecualian bayaran sewa PPR MTEN dan Perumahan Awam DBKL, bantuan kit makanan asas, bantuan Food Pack, penangguhan bayaran ansuran unit beli PPR MTEN dan PA DBKL, sumbangan makanan petugas barisan hadapan, sumbangan makanan gelandangan dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, tiada satu kelompok dalam komuniti di Wilayah Persekutuan sekalipun yang terkecuali daripada menerima bantuan.

Bahkan tatkala ramai yang berterusan meminggirkan golongan gelandangan lebih-lebih lagi apabila negara dilanda COVID-19, Annuar telah tampil dengan usaha-usaha berterusan bagi memastikan kelompok ini tidak terus diabaikan. Berbagai usaha telah digerakkannya bagi membantu golongan ini yang digelarnya sebagai ‘Hijrah Warrior’ untuk berubah ke arah kebaikan. Antara inisiatif membantu gelandangan yang paling berjaya ketika ini adalah program kebun bandar Hijrah Warrior di Pusat Transformasi Gelandangan atau dikenali sebagai Anjung Kelana.

Hasil daripada komitmen berterusan Annuar membantu golongan Hijrah Warrior ini, sehingga hari ini sudah ramai yang berjaya mengubah kehidupan dan keperibadian mereka. Ramai juga yang sudah berjaya menjana pendapatan sendiri melalui aktiviti pertanian. Malah, ada di kalangan mereka yang serius mahu belajar menjaja, telah diberikan gerai supaya mereka ini boleh berdikari.

Bukan setakat itu, Annuar sebagai Menteri Wilayah juga tidak akan duduk diam sekiranya mendapat berita mengenai kecelakaan. Sebagai contoh, sebaik sahaja mendapat khabar mengenai tragedi kebakaran melibatkan beberapa gerai di Desa Pandan tidak lama dahulu, Annuar pagi-pagi lagi terus bergegas melawat ke tempat tersebut. 11 peniaga yang menjadi mangsa kebakaran segera diberikan tapak sementara untuk mereka meneruskan usaha mencari rezeki.

Dari segi memerangi COVID-19 pula, Annuar begitu komited untuk memastikan Wilayah Persekutuan menjadi sebagai bandaraya terawal mencapai 80% penduduk menerima suntikan vaksin, sekaligus mencapai imuniti kelompok. Inisiatifnya membawa ‘vaksin turun padang’ ke kawasan-kawasan PPR dan industri menerusi Trak Vaksin Bergerak juga telah menerima maklum balas yang sangat positif daripada warga kota. Alhamdulillah kerja kerasnya telah berhasil.

Selain mengekalkan Annuar sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, ada juga beberapa rakan yang mencadangkan agar beliau diberikan portfolio sebagai Menteri Komunikasi. Ini ujar mereka bagi memperbaiki kelemahan yang paling ketara ketika pentadbiran Perikatan Nasional iaitu kegagalan meyampaikan maklumat dengan berkesan kepada rakyat. Melihatkan Annuar yang sering ke hadapan menerangkan dasar-dasar kerajaan dan menjawab tuduhan-tuduhan tidak berasas kepada kerajaan, mereka merasakan Annuar adalah sosok yang paling sesuai untuk memegang jawatan tersebut.

Apapun, kita hanya boleh berspekulasi, namun urusan melantik barisan Kabinet adalah hak prerogatif Perdana Menteri. Cumanya saya seperti ramai rakan-rakan yang menghubungi saya beranggapan, adalah satu kerugian kepada negara sekiranya seorang individu yang berpengalaman luas dalam dunia politik dan pentadbiran kerajaan seperti Annuar dipinggirkan daripada Kabinet yang bakal dibentuk.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat