PAPAR, – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Kempen Internet Selamat (KIS) di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Mary, Limbahau, Papar sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh literasi dan kesedaran digital dalam kalangan komuniti di Sabah.
Kempen anjuran Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu bukan sekadar memberi tumpuan kepada capaian Internet, tetapi menekankan aspek penggunaan teknologi secara selamat, beretika dan bertanggungjawab, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Capaian Internet perlu disusuli dengan kefahaman mendalam tentang keselamatan siber, agar anak-anak kita tidak menjadi mangsa ancaman digital,” kata Fahmi dalam ucapannya.
Antara pengisian KIS termasuk sesi kesedaran keselamatan dalam talian, aktiviti interaktif bersama pelajar serta latihan khas kepada guru bagi memperkukuh nilai dan jati diri pelajar ketika berdepan cabaran di alam siber.
Inisiatif ini turut mencerminkan pendekatan whole-of-nation di bawah kerangka Malaysia MADANI, melibatkan kerjasama erat antara MCMC, pihak sekolah, guru, ibu bapa dan pihak berkuasa tempatan dalam menyampaikan mesej keselamatan digital secara berkesan.
MCMC menyeru seluruh masyarakat dari desa ke bandar, dari Semenanjung hingga ke Sabah – untuk menjadi sebahagian daripada gerakan ini.
“Internet bukan hanya alat komunikasi. Ia medan untuk menyebar ilmu, membentuk nilai dan menyatukan rakyat. Kita harus pastikan ruang digital kekal selamat dan membina untuk generasi akan datang,” ujar Fahmi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Tuan Haji Bukhari Yahya.



