KUALA LUMPUR – Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC) menyifatkan penghargaan luar biasa kerajaan membabitkan inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk semua dan penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter adalah selaras dengan kerangka ekonomi Madani.
Pengerusinya Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata pemberian kerajaan itu berupaya meredakan kos sara hidup dan menyediakan ruang perbelanjaan lebih selesa kepada B40 serta M40.
“Ia turut memperlihatkan kepekaan kerajaan terhadap realiti semasa dihadapi rakyat.
“Langkah proaktif dan pantas ini membuktikan bahawa kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat serta berusaha mencari penyelesaian yang tuntas demi kesejahteraan bersama,” katanya pada sidang media di Parlimen, pada Rabu, lapor BH.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program SARA.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak.
Pada masa sama, Mohd Shahar berkata, segala usaha keras kerajaan Madani dalam menarik pelaburan ke negara kini sudah dapat diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.
“Pihak BBC percaya bahawa segala inisiatif diumumkan ini akan memberi manfaat nyata kepada seluruh rakyat Malaysia, mengurangkan bebas kos sara hidup selain turut memacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah lebih mampan.
“Kami meminta rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan dan dokongan padu kepada kerajaan Madani demi memastikan Malaysia terus maju dan sejahtera,” katanya.



