KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui tempoh menunggu yang panjang bagi pembedahan elektif di fasiliti kesihatan awam dengan hampir 15,000 pesakit masih berada dalam senarai menunggu di seluruh negara.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tempoh purata pesakit menunggu giliran pembedahan sekitar tiga hingga 21 bulan.
Katannya, walaupun berdepan dengan cabaran itu, pembedahan kecemasan tetap diberikan keutamaan dan dilaksanakan segera demi menjamin keselamatan nyawa pesakit.
“Setakat ini, seramai 9,233 pesakit sedang menunggu pembedahan katarak di 56 hospital KKM dengan purata tempoh menunggu selama tiga bulan.
“2,661 pesakit pula menunggu prosedur berkaitan batu karang seperti percutaneous nephrolithotomy dan retrograde intrarenal surgery dengan purata tempoh menunggu mencecah 11 bulan di 13 hospital yang mempunyai pakar tetap,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH–Puchong) yang meminta kementerian menyatakan senarai dan purata tempoh menunggu bagi pembedahan elektif di hospital kerajaan.
Menurut Dzulkefly, seramai 2,293 pesakit juga sedang menunggu pembedahan kardiotorasik utama termasuk coronary artery bypass graft dan pembedahan injap jantung dengan purata masa menunggu selama tujuh bulan.
“Bagi pembedahan kardiotorasik pediatrik, situasi lebih mencabar apabila sebanyak 603 kes elektif masih tertangguh dengan purata tempoh menunggu yang jauh lebih lama iaitu sehingga 21 bulan,” lapor Utusan pada Rabu.
Mengulas usaha mengurangkan kelewatan pembedahan, Dzulkefly berkata, antara langkah diambil ialah memperluaskan konsep hospital kluster yang membolehkan perkhidmatan pakar dikongsi antara hospital dalam kluster sama.
“KKM juga menempatkan pakar bedah di hospital yang tidak mempunyai pakar tetap, bagi membolehkan perkhidmatan pembedahan dimulakan di hospital tersebut,” ujarnya.
Selain itu, kementerian turut mengukuhkan kerjasama antara agensi dan sektor swasta bagi memperluas akses pembedahan.
“Contohnya ialah penubuhan Pusat Pembedahan Katarak MAIWP–Hospital Selayang hasil kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
“Kami juga melaksanakan Program Perkhidmatan Kesihatan Secara Out-Sourcing sebagai sebahagian usaha mempercepatkan proses rawatan bagi pesakit yang memerlukan pembedahan segera,” katanya.



