MEASAT-3d rapatkan jurang ketersambungan digital – Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al- Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia serta pengendali satelit utama negara, Measat Global Berhad (MEASAT), atas kejayaan pelancaran Satelit MEASAT-3d pada awal pagi hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sukacita dengan kejayaan ini kerana ianya amat bermakna khususnya buat rakyat Malaysia apabila rakyat dapat menikmati internet berkelajuan tinggi tidak kira di kawasan bandar dan pinggir bandar atau pedalaman di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerusi perkhidmatan jalur lebar satelit.

“Seri Padua Baginda bertitah ianya juga selaras dengan inisiatif Kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam usaha merapatkan jurang ketersambungan digital dan mewujudkan masyarakat inklusif digital tanpa meminggirkan mana-mana kelompok rakyat di negara ini.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan akses internet yang stabil dan pantas, rakyat Malaysia akan memperoleh pelbagai manfaat sosioekonomi seperti penyertaan dalam aktiviti e-Dagang dan pembelajaran digital,” ujarnya dalam kenyataan pada Khamis.

Selain itu, Ahmad Fadil juga memaklumkan Seri Paduka Baginda, selaku Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan, turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atas pelancaran Pelan Strategik MAIWP 2021-2025 dan Manfaat Kewangan Asnaf yang juga telah berlangsung pada pagi hari ini.

Katanya, Seri Paduka Baginda telah dijadualkan berangkat untuk menyempurnakan majlis pelancaran tersebut tetapi keadaan kesihatan Baginda tidak mengizinkan berikutan kegeringan Baginda yang menjalani rawatan dan pemantauan pakar perubatan di sebuah hospital di sini sejak Isnin lalu (20 Jun 2022).

“Walaupun sedang menjalani rawatan, Seri Paduka Baginda telah berkenan meluangkan masa menzahirkan Titah Diraja menerusi rakaman video di kamar istirehat Baginda di hospital tersebut kelmarin untuk ditayangkan di majlis pelancaran hari ini.

“Seri Paduka Baginda dalam rakaman titahnya, selain ucapan tahniah, menzahirkan harapan agar inisiatif-inisiatif yang telah dirangka berjaya mencapai sasaran dan hasrat penubuhannya dalam menyemarakkan sinar Islam dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu Bernama melaporkan pandangan tenaga akademik tempatan bahawa Satelit MEASAT-3d baharu dijangka akan memberi manfaat bukan sahaja kepada Malaysia malah negara lain termasuk Indonesia dan India.

Profesor Adjung Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Tharek Abd Rahman berkata dengan kapasiti yang telah dipertingkat menerusi satelit baharu itu, ketersambungan kualiti jalur lebar yang lebih baik dapat dikecapi negara-negara terlibat.

“Jejak satelit MEASAT-3d bakal meliputi 42 peratus liputan penduduk dunia (bumi) dan memandangkan semua negara mempunyai transponder berbeza dalam satelit yang sama, transponder khusus satelit itu boleh dipancarkan ke negara masing-masing dan kita juga dapat menerima isyarat.

“Kita akan memperoleh kualiti yang lebih baik dari segi ketersambungan juga perkhidmatan jalur lebar, bukan hanya membabitkan penyiaran dan telekomunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditanya mengenai pelancaran satelit MEASAT-3d, yang dijadual dilancarkan dari tapak pelancaran Agensi Angkasa Eropah di Guiana Perancis, Amerika Selatan pada 6.03 petang 22 Jun (5.03 pagi, 23 Jun waktu Malaysia).

Dikenali sebagai satelit paling komprehensif dan kompleks dalam armada MEASAT, satelit terbaharu dan paling maju itu dianggarkan menelan belanja RM1.2 bilion.

Tharek berkata memandangkan sambungan internet sangat penting ketika tempoh pandemik yang melanda seluruh dunia, satelit baharu itu akan mempercepatkan matlamat kerajaan Malaysia untuk merapatkan jurang ketersambungan digital untuk semua rakyatnya.

“Satelit baharu itu merupakan satu lagi kejayaan yang melengkapkan MEASAT-3a dan MEASAT-3b, dari segi kapasiti perkhidmatan jalur lebar satelitnya.

“Apabila penggunaan internet meningkat semasa pandemik, fasa itu sendiri menjadi penggalak, apatah lagi apabila kita kini memasuki fasa peralihan ke endemik.

“Kita lebih memerlukan satelit baharu ini berbanding sebelum ini,” kata Tharek yang berpengalaman luas berkaitan komunikasi mudah alih dan satelit.

Dalam perkembangan berkaitan, Tharek berkata sasaran kerajaan Malaysia untuk mencapai 100 peratus capaian internet dan pendigitalan negara boleh disegerakan dengan pelancaran satelit MEASAT-3d.
Beliau berkata sasaran yang dinyatakan dalam inisiatif MyDIGITAL Blueprint, serta dalam Jalinan Digital Negara (JENDELA) mungkin dapat dicapai dengan peningkatan keupayaan satelit baharu itu.

“Seperti pembentangan dalam JENDELA Fasa 1, sasaran untuk mencapai 100 peratus liputan populasi 4G menjelang akhir tahun ini boleh dicapai dengan pelancaran satelit baharu ini.

“Satelit baharu itu membolehkan capaian internet berkelajuan tinggi hingga ke kawasan luar bandar yang kurang mendapat liputan, dengan kelajuan sehingga 100Mpbs. Satelit baharu itu boleh membantu mendapatkan kualiti itu,” katanya.

Menurut ketua pegawai operasi MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd (MEASAT), Yau Chyong Lim, pelancaran itu akan membantu mewujudkan masyarakat digital yang inklusif, dan menyokong aplikasi jalur lebar berkelajuan tinggi seperti Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), Internet benda (IoT) dan teleperubatan.

Internet berkelajuan tinggi akan dipertingkatkan daripada kelajuan muat turun semasa sekitar 30 megabit sesaat (Mbps) kepada 100 Mbps, membenarkan pengguna menstrim kandungan data tinggi seperti video 4K atau 8K, tambahnya.

MEASAT telah mengendalikan teknologi satelit selama lebih 25 tahun bermula dengan pelancaran MEASAT-1 dan MEASAT-2 pada 1996. Ia diikuti MEASAT-3 pada 2006, MEASAT-3a pada 2009 dan MEASAT-3b pada 2014.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat