Malaysia patut bersyukur dapat Pulau Ligitan dan Sipadan, Batu Puteh cuma ‘batu’ – Tun M

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini tampil menjernihkan kekeliruan dan salah faham berkenaan kononnya beliau mendesak Malaysia menuntut tanah yang telah hilang.

Katanya, kita orang Malaysia sangat bimbang dengan kehilangan Pulau Batu Puteh atau nama lainnya Pedra Branca yang secara fizikalnya cuma batu bersaiz meja.

Hal demikian, Dr Mahathir menyatakan beliau tidak bermaksud bahawa Malaysia wajar menuntut semula tanah milik negara ini yang telah hilang.

Beliau sebaliknya berkata, rakyat negara ini sepatutnya bersyukur kerana Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah menganugerahkan Pulau Ligitan dan Sipadan kepada Malaysia berbanding kehilangan Pulau Batu Puteh yang sekadar batu.

“Laporan ketika saya berucap dalam sebuah kongres Melayu pada Ahad lalu adalah tidak tepat. Bukan saya meminta Malaysia menuntut tanah yang telah hilang. Saya cuba menunjukkan bahawa kita sangat bimbang ‘kehilangan batu bersaiz meja’ tetapi tidak pernah risau mengenai bahagian yang lebih besar milik Malaysia apabila ia diambil daripada kita.

“Kehilangan Pulau Batu Puteh bukan masalah besar. Adalah menjadi kesilapan Kerajaan Johor untuk menafikan bahawa batu itu kepunyaan
Johor. Sekiranya penafian itu tidak dibuat, tidak akan ada pertikaian sekarang.

Tambah Mahathir, orang Malaysia seharusnya bersyukur kerana ICJ menganugerahkan Pulau Ligitan dan Sipadan kepada kita.

“Pulau Ligitan dan Sipadan itu jauh lebih berharga daripada Pulau Batu Puteh – hanya batu.

“Kita patut bersyukur kerana Indonesia tidak mempertikaikan anugerah tersebut. Nampaknya kita tidak bersyukur dengan keuntungan yang memihak kepada kita,” jelas Dr Mahathir.

Beliau menyatakan sedemikian bagi menjelaskan kekeliruan dalam laporan akhbar The Straits Times yang menyebut “Ex PM Mahathir says Malaysia should claim Singapore and Riau Islands” yang disiarkan pada 20 Jun 2022.