KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan minyak masak bersubsidi dalam bentuk polibeg 1 kilogram (kg) akan dipertingkatkan kerana dijangka bakal menjadi ‘sasaran tunggal’ kegiatan penyeludupan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, hal ini memandangkan subsidi minyak masak kemasan botol akan berakhir berkuat kuasa 1 Julai 2022.

“Usaha membanteras ketirisan, penyelewengan, penyeludupan sangat penting demi memastikan 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi yang diperuntukkan sampai ke rakyat, bukan dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab demi mengaut keuntungan mudah.

“Di KPDNHEP, lebih 2,000 penguat kuasa, dengan 72 enforcement command center (ECC) di seluruh negara berperanan untuk menyelaras tindakan bila aduan dan maklumat diterima,” katanya.

Beliau juga memberitahu, bagi menambah keberkesanan penguatkuasaan, kementerian turut menggerakkan 1,000 Pegawai Pemantau Harga (PPH) untuk memantau keadaan demi memastikan tiada ketirisan minyak masak, pasca pembukaan semula sempadan negara seiring fasa peralihan ke endemik.

“Berdasarkan statistik semasa, nilai rampasan bahan bersubsidi didapati meningkat kepada RM3,928,838 bagi tempoh sepanjang Mei 2022, berbanding RM3,896,429 untuk tempoh sama tahun lalu. Jika diteliti, nilai rampasan untuk petrol dan tepung gandum masing-masing merekodkan lonjakan lebih 3 kali ganda. Ini berlaku selepas sempadan negara mula dibuka pada 1 April lalu.

“Kegiatan penyelewengan sebegini secara tidak langsung menyumbang kepada kesukaran mendapatkan barangan bersubsidi di pasaran, khususnya minyak masak paket 1 kilogram.

“Jika dibiarkan berleluasa, ketirisan peruntukan subsidi bukan sekadar menjejaskan kehidupan rakyat, terutama B40 dan M40, malah menyebabkan keberkesanan penyaluran subsidi ‘tergelincir’ daripada matlamatnya,” katanya.