Pembangkang Cuma Boleh Cetus Huru-Hara Tapi Tidak Akan Berjaya – Shahrir Samad

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tokoh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyuntik keyakinan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat masih takut-takut untuk membuka Parlimen untuk sidang Dewan Rakyat bahawa Usul Undi Tidak Percaya tidak akan berlaku pada persidangan kali ini.

Menurut beliau mungkin dalam sidang Parlimen kali ini blok pembangkang boleh mencetuskan huru-hara tetapi sejauh mana kacau bilau itu bergantung kepada sifat kepimpinan seorang ketua dewan iaitu Perdana Menteri.

“Ada kawan saya tegur saya, kenapa menekan sangat berkenaan Parlimen kena bersidang secepat mungkin? Bukankah nanti ada pihak pembangkang yang buat undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN? Bahkan saya ditanya oleh kawan-kawan mengenai ‘Undi Tidak Percaya’ senjak awal tahun lagi.

“Saya jawab, sebenarnya tidak boleh berlaku ‘Undi Tidak Percaya’ dalam Dewan Rakyat. Usul itu hanya usul persendirian dan akan ditenggelamkan oleh usul-usul kerajaan.

“Lagi penting, saya jawab, Dewan Rakyat boleh dipanggil untuk suatu mesyuarat khas dibawah Peraturan Mesyuarat 11(3): “Pada masa Majlis dalam tangguhan jika Perdana Menteri memaklumkan kepada Tuan Yang di-Pertua iaitu bagi faedah orang ramai mustahak Majlis mengadakan mesyuarat dahulu daripada tarikh yang telah ditetapkan, maka Tuan Yang di-Pertua hendaklah dengan serta-merta mengeluarkan pemberitahu…”

“Mesyuarat khas ini boleh dipanggil untuk beberapa hari tertentu bagi membahas dan membincang secara khusus perkara-perkara mengenai wabak Covid-19, iaitu kesan wabak kepada rakyat dan ekonomi negara serta Pelan Pemulihan Negara,” jelas beliau dalam satu hantaran Facebook, pada Rabu.

Ketua Bahagian UMNO Johor Bahru itu turut memberitahu, dalam mesyuarat khas seperti ini, agendanya juga khas, iaitu ‘bagi faedah orang ramai’. Tidak mungkin boleh diadakan pula usul persendirian untuk menyatakan ‘tidak percaya’ kepada Perdana Menteri dan kerajaan.

“Betul, pembangkang boleh huru-harakan mesyuarat tapi itu ianya semua terserah kepada sifat kepimpinan seorang Ketua Dewan, iaitu Perdana Menteri.

“Hanya, Dewan Rakyat bersidang segera ni, walaupun dibolehkan oleh peraturan mesyuaratnya, bukan dalam ‘Scheme of Things’ Muhyiddin,” kata Shahrir.

Semalam beliau menjelaskan falsafah ‘scheme of things’ yang dijadikan asas politik PN didakwa menjadi punca kerajaan pimpinan parti itu sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri masih berlengah mengadakan persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Shahrir menjelaskan, scheme of things adalah kepimpinan kerajaan masih tetap bersandar falsafah bahawa badan pengubal undang-undang masih di bawah taklukan Perdana Menteri dan Menteri Besar.

Katanya, ketika hampir semua negeri menyatakan kesediaan untuk mengadakan sidang DUN masing-masing, masih ada segelintir menunjukkan sikap sebaliknya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat